Rumah Tangga Raja Farah Raja Aziz Bermasalah?

Aktres Raja Farah Raja Aziz, 26, sekali lagi menepis khabar angin mengenai rumah tangganya yang dikatakan bermasalah selepas terpaksa berjauhan dengan suaminya, Megat Bashirun Qhuyum Datuk Zakaria, 29, sejak tahun 2011 memandangkan dia bekerja sebagai seorang jurulatih selaman di Pulau Perhentian, Terengganu.

Raja Farah Raja Aziz

Walaubagaimana Raja Farah mengaku, perselisihan faham tetap berlaku dalam mana-mana perkahwinan, tetapi ia sentiasa diselesaikan secara baik.

"Banyak konklusi boleh dibuat cuma apabila berkaitan peribadi saya lebih suka mendiamkan diri. Kami tiada sebarang masalah besar cuma biasalah kalau bergaduh manja.

"Saya akui, tahun lepas adalah waktu paling genting dalam hubungan kami kerana kami sering berjauhan. Dia di Pulau Perhentian dan saya pula sibuk dengan penggambaran program "Rasa Halal Antarabangsa" di luar negara.

"Sehingga ada pada satu ketika, pernah dua bulan kami tidak sempat berjumpa. Dia balik ke Kuala Lumpur, saya pula terbang ke luar negara dan begitulah sebaliknya.

"Jadi, orang melihat saya jarang bersama suami dan lebih banyak keluar bersendirian atau ditemani ibu saya sahaja, kemudian timbul macam-macam andaian. Pinta saya, doakan yang terbaik untuk kami sekeluarga," ujarnya seperti dipetik daripada laporan Kosmo!.

Bagi mengelakkan salah faham masyarakat, Raja Farah merasakan mereka patut meluangkan lebih banyak masa bersama-sama dan disebabkan itu telah membuat keputusan untuk berpindah ke Pasir Mas, Kelantan dan tinggal bersama suaminya sejak Januari lalu.

"Bukan untuk saya menepis spekulasi yang timbul, sebaliknya mahu meluangkan lebih masa bersama dan berusaha untuk mendapatkan zuriat," tambahnya.

Pasangan ini telah berkahwin pada 12 November 2010 tetapi rezeki untuk menimang cahaya mata tidak berpihak kepada mereka.

Raja Farah mengakui dia dan suami sedang berusaha untuk mendapatkan seorang anak angkat sebagai penyeri keluarga mereka.

"Sebelum ini kami hampir mengambil seorang anak angkat lelaki tapi mungkin Allah tidak mengizinkan apabila pada waktu yang sama saya mendapat tawaran berlakon drama di Johor.

"Jadi saya risau tidak mampu memberikan sepenuh tumpuan kepada bayi itu. Tapi sekarang suami saya serius sedang berusaha untuk mendapatkan anak angkat lain untuk kami," katanya.

Sementara itu Raja Farah yang pernah nekad untuk mengurangkan aktiviti seni bagi memberikan sepenuh perhatian kepada keluarga telah mempertimbangkan semula keputusannya untuk bergerak aktif kembali.

Dia bersyukur apabila suaminya turut memberi keizinannya asalkan mengikut garis panduan sebagai seorang wanita berhijab dan sudah berkahwin.

Raja Farah kini sedang menjalani penggambaran di Johor untuk sebuah drama 13 episod yang diadaptasi daripada novel berjudul "Salju Sakinah" terbitan TV Alhijrah.

-Yahoo Malaysia

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Apa kata anda komen sedikit..;) EmoticonEmoticon