Anak Bruce Willis Tayang Buah Dada Bantah Polisi Instagram

Hanya kerana membantah polisi bogel laman Instagram, anak perempuan aktor terkenal Bruce Willis, Scout Willis, 22, sanggup menayangkan buah dadanya di sekitar bandar New York.


Ia gara-gara Instagram tidak membenarkan penggunanya memuatnaik gambar buah dada termasuklah bekas pesakit kanser payudara dan wanita yang menyusukan bayi.

Dia turut mempersoalkan mengapa gambar provokatif lain seperti keganasan dan senjata api boleh dimuatnaik, tetapi bukan buah dada wanita?

“Sah di New York tetapi bukan di Instagram,” katanya menerusi Twitter yang merujuk kepada undang-undang yang membolehkan wanita berjalan separuh bogel di bandar itu.

Inilah akibatnya jika terlalu taksub kepada kebebasan sehingga semua perkara pun mahu didedahkan.

Sumber: ABCNEWS

Abby Abadi Masih Sayangkan Farhan

Pelakon Abby Abadi mengakui masih sayangkan suaminya, Muhammad Noor Farhan Che Bakar dan tidak pernah menjangkakan perceraian akan berlaku pada perkahwinan keduanya itu.


Abby atau nama sebenarnya, Arbaiyah Abdul Manan, 37, berkata, lafaz cerai yang dibuat menerusi mesej Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) daripada pemuda itu pada 9 Mei lalu merupakan satu kejutan kerana ia hanyalah salah faham yang seharusnya tidak berakhir dengan perceraian.

“Saya akui masih sayangkan dia dan langsung tidak pernah membayangkan perceraian akan berlaku kerana salah faham yang timbul tidak sepatutnya berakhir dengan perceraian.

“Bagaimanapun buat masa ini saya tidak nampak jalan untuk kami berbaik semula kerana saya sudah berusaha sehabis baik untuk memperbetulkan keadaan tetapi apalah daya saya kalau itu ketentuan dan takdir saya,” katanya kepada mStar Online.

Terdahulu Hakim Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Shaiful Azli Jamaludin pada Khamis menangguhkan kes permohonan pengesahan lafaz cerai yang difailkan Abby terhadap Muhammad Noor Farhan, 24, kepada 11 Jun ni selepas terdapat satu lagi lafaz cerai yang belum difailkan dan disahkan oleh mahkamah.

Lafaz cerai kali pertama dibuat oleh Muhammad Noor Farhan pada Januari lalu.

Dalam pada itu Abby turut menolak dakwaan keretakan rumah tangganya itu kerana kehadiran orang ketiga termasuk tekanan daripada masyarakat sekeliling yang sentiasa memerhatikannya.

“Bukan kerana orang ketiga dan jika komen orang mengenai saya di laman sosial juga tidak pernah menjadi penyebab kepada kejadian ini dan saya tidak salahkan sesiapa kerana kami berdua ada melakukan kesilapan,” ujarnya.

Sementara itu, Abby mengakui jarak usia sebanyak 13 tahun di antara mereka antara penyebab terjadinya perceraian dalam rumah tangga mereka.

Abby berkata, Muhammad Noor Farhan terlalu muda untuk memahami pelbagai perkara mengenai alam rumah tangga namun dia tidak pernah menyesali perkahwinan berkenaan biarpun hanya mampu bertahan selama 10 bulan.

“Pada saya dia terlalu muda untuk meletakkan dirinya sebagai suami dan kami juga baru kenal mengenali selepas berkahwin. Mungkin ada beberapa perkara yang dia tidak dapat faham.

“Saya tidak salahkan dia kerana ketika saya berusia seperti dia pun banyak perkara yang saya tidak faham dan masih belajar mengenai kehidupan.

“Apa-apa pun saya tidak pernah menyesal berkahwin dengannya malah bersyukur dia dipinjamkan kepada saya biarpun singkat,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai lafaz cerai yang dibuat kali pertama oleh Muhammad Noor Farhan pada Januari lalu, Abby berkata, dia tidak mahu menghebahkan perkara itu kerana enggan memperbesarkan kejadian itu.

“Secara teknikalnya dia tidak melafazkan cerai itu kepada saya tetapi memberitahu kepada seorang kenalan bahawa kami sudah bercerai dan apabila dirujuk kepada bapa saudaranya yang juga seorang imam, beliau memberitahu lafaz yang dibuat itu sah dan kami perlu rujuk semula,” jelasnya.

Terdahulu ketika di mahkamah kedua-dua pasangan berkenaan hadir secara berasingan.

Muhammad Noor Farhan dilihat tergesa-gesa meninggalkan mahkamah dengan menaiki sebuah kereta BMW yang menunggunya di perkarangan mahkamah bagi mengelak didekati pihak media.

Kedua-dua pasangan berkenaan tinggal berasingan sejak 9 Mei lalu.

Abby dan Muhammad Noor Farhan bernikah pada 9 Julai 2013 iaitu sehari sebelum menjelangnya Ramadan. Mereka bernikah di Selatan Thailand.

Pada 17 Mei lalu Abby menulis status di laman Instagram miliknya meminta agar para peminat mendoakan keadaan rumah tangganya itu.

Sebelum berkahwin dengan pemuda dari Kelantan itu, Abby pernah bernikah dengan pelakon Norman Hakim dan mereka dikurniakan tiga orang anak. -mStar

Mr Bean Bantu Pemandu McLaren Terlibat Kemalangan

ITALI – Pelakon terkenal Rowan Atkinson yang popular dengan Mr Bean telah membantu menyelamatkan nyawa seorang pemandu McLaren selepas dia terbabit dalam kemalangan di Tuscany.


Mr Bean merupakan individu pertama yang menghulurkan bantuan menyelamatkan pemandunya yang juga seorang jutawan dari Amerika Syarikat selepas dia gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh pokok.

Kebetulan ketika itu Mr Bean yang turut mengikuti konvoi McLaren F1 melalui Tuscan.

Dia turut membantu mengutip serpihan kereta itu yang hancur sepenuhnya.

Pemandu kereta itu dibawa ke hospital di Pisa dan keadaannya dilaporkan tidak serius. -Mynewshub.my

Suami Abby Abadi Lakukan Dua Kali Lafaz Cerai

Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini diberitahu suami kepada pelakon Abby Abadi iaitu Muhammad Noor Farhan Che Bakar, 24, melakukan dua kali lafaz cerai terhadap pelakon itu termasuk salah satunya tidak dimaklumkan kepada mahkamah.


Sehubungan itu Hakim Syarie iaitu Shaiful Azli Jamaludin terpaksa menangguhkan permohonan pengesahan lafaz cerai yang dibuat pelakon itu kepada 11 Jun depan bagi membolehkan lafaz cerai kali pertama difailkan.

Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 37, sebelum itu mendedahkan kepada mahkamah suaminya pernah memberitahu seorang kenalan bahawa mereka sudah bercerai.

Muhamad Noor Farhan berjalan keluar dari mahkamah.

Pasangan itu bagaimanapun meminta nasihat kes itu kepada bapa saudara Muhammad Noor Farhan yang juga defendan dalam kes ini dan mereka kemudiannya melakukan rujuk tanpa melaporkan kes berkenaan kepada mahkamah.

Pelakon drama bersiri Gerak Khas itu turut memberitahu kejadian itu berlaku pada Januari lalu. Abby dan Muhammad Noor Farhan bernikah pada 9 Julai 2013 iaitu sehari sebelum menjelangnya Ramadan.

Mereka bernikah di Selatan Thailand. –mStar

Iqram Terkejut Dituduh Jalin Hubungan Songsang

PETALING JAYA – Pelakon Iqram Dinzly menganggap ada pihak cuba mensabotaj dirinya apabila dituduh menjalinkan hubungan songsang, selain berfoya-foya di sebuah kelab malam di London, November tahun lalu.


Iqram, 33, yang terkejut apabila isu hubungan songsang membabitkan dirinya sekali lagi menjadi isu, sedangkan dia langsung tidak terlibat dengan perilaku tersebut bagaimanapun mengakui berkunjung ke kelab malam di United Kingdom itu sekadar untuk melihat suasananya.

“Mungkin ada pihak yang mahu sabotaj saya. Kenapa orang nak kaitkan saya dengan hubungan songsang hanya kerana melihat saya bergambar dengan lelaki. Salah ke saya nak bergambar dengan kawan saya sendiri?

“Bagaimanapun saya mengakui ada berkunjung ke sebuah kelab malam di London tetapi bukan berfoya-foya, sebaliknya sekadar mahu melihat suasananya sahaja,” katanya yang dihubungi mStar Online pada Isnin.

Sebuah laman blog pada Isnin mendedahkan seorang pelakon lelaki (dituju kepada Iqram) dikatakan mengunjungi beberapa kelab malam di London.

Iqram yang ketika itu ditemani seorang pelajar lelaki rakyat Malaysia didakwa menjalin hubungan songsang.

Malah laman blog itu turut mendedahkan mesej daripada aplikasi Whatsapp berbau lucah kononnya ia adalah mesej perbualan antara Iqram dan pelajar tersebut.

Sementara itu, Iqram menyifatkan ia sebagai satu gosip lucu dan enggan mengambil serius mengenai perkara itu.

“Apa yang saya tak faham, kawan dengan perempuan salah, dengan lelaki salah. Habis saya nak berkawan dengan siapa?

“Berkenaan mesej Whatsapp itu, saya pun tak pasti itu mesej saya atau tidak. Tetapi kalau dengan rakan-rakan lelaki saya memang suka bercakap kasar.

“Rasa lucu pula bila isu ini berbangkit lagi. Sebelum ini bila rapat dengan Soo Wincci, saya dikatakan cuba mengurat dia, sekarang cerita lain pula.

“Apa-apapun, yang penting keluarga faham siapa saya yang sebenar,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Iqram baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama di bawah produksi Shawana Productions iaitu Kalau Hati Ini Rama-Rama dan Cinta Meniti Starimost.

Selain itu lakonan Iqram juga bakal muncul menerusi filem Lagenda Budak Setan 3 yang akan ditayangkan pada September depan. -mStar Online

Siti Saleha Dedah Identiti Kekasih

Pelakon jelita, Siti Saleha mendedahkan dirinya kini sedang menjalinkan hubungan percintaan bersama seorang jejaka berusia 27 tahun yang berasal daripada Portugal.


Enggan mendedahkan nama sebenar kekasihnya itu, Saleha mengakui buah hatinya yang berkerja di dalam bidang kewangan itu sebenarnya seorang yang sangat pemalu dan enggan tampil di khayalak ramai.

"Saya sebenarnya bukan nak sorok kekasih daripada pengetahuan para peminat kerana teman lelaki saya merupakan seorang yang sangat 'low profile', tak mahu gambarnya dirakamkan dan sangat pemalu orangnya," ujarnya yang ditemui selepas majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 (ABPBH 2013), Sabtu lalu.

Dalam pada itu, aktres berusia 24 tahun itu turut membuat kejutan apabila memenangi anugerah Pelakon TV Wanita Popular dan Pelakon Filem Wanita Popular pada majlis berprestij itu yang diadakan di PICC, Putrajaya pada Sabtu lalu.

"Saya tidak sangka akan menang dua anugerah sekaligus, lagi-lagi untuk kategori pelakon filem kerana saya baru berlakon hanya tiga buah filem sahaja," katanya yang menyangkakan kemenangan akan berpihak kepada Nora Danish.

Sementara itu, Saleha meluahkan rasa bersyukur kepada Allah S.W.T dan ingin mengucapkan terima kasih kepada para peminat yang sentiasa menyokong karier lakonannya.

Ditebak mengenai kemungkinan bayaran lakonannya kemungkinan akan melonjak tinggi selepas kejayaan berganda ini, Saleha menafikan perkara tersebut.

"Saya tidak akan 'demand' banyak sangat kerana saya amat teliti dalam pemilihan watak dan skrip dan memilih berdasarkan kualiti daripada kuantiti,"jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Saleha bakal menemui anda di kaca televisyen dengan drama berjudul "Manis" dan bakal berlakon di samping Aaron Aziz di dalam sebuah telemovie raya berjudul "Nak Balik Raya". -My.entertainment.yahoo.com

Norman, Memey Enggan Ulas Krisis Rumah Tangga Abby

Aktor Norman Hakim dan Memey Suhaiza mengambil pendekatan untuk tidak mengulas mengenai krisis rumah tangga Abby Abadi dengan Muhammad Noor Farhan Che Bakar dan berharap agar segala masalah dapat diselesaikan dengan baik.


Norman yang merupakan bekas suami Abby mengakui terkejut selepas mendengar khabar tersebut dan terus menghubungi Abby untuk bertanya khabar.

"Saya sangat terkejut apabila isteri saya, Memey memberitahu dia terbaca kapsyen foto di Instagram Abby seolah-olah perkahwinan Abby sedang berhadapan dengan masalah.

"Sebagai bekas suami dan ayah kepada anak-anak Abby, sudah pasti saya mengambil berat terhadap masalahnya. Saya terus menghubungi dan bertanya 'awak ok?'

"Dan Abby pula balas, "Ok! Saya ada Allah....". Apabila dia hantar mesej seperti itu, saya tidak bertanya banyak perkara kerana menghormati privasinya," ujar Norman seperti dipetik dari mStar.

Namun, Norman enggan mengulas lanjut mengenai perkara ini kerana tidak mahu masuk campur dalam urusan rumah tangga bekas isterinya itu tetapi berharap agar peminat berdoa semoga pasangan tersebut dapat menyelesaikan masalah mereka sebaik mungkin.

Sementara itu Memey turut enggan mengeruhkan keadaan dan berharap segala yang terbaik buat mereka.

"Maaf, baik Memey mahupun abang Norman, kami tidak mahu memberikan sebarang komen mengenai hal ini. Kami tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan yang berlaku. Apapun, kami mendoakan yang terbaik buat mereka," jelas Memey seperti dipetik dari laporan sebuah portal hiburan tempatan.

Terdahulu, Abby telah memuat naik status yang menggambarkan pergolakan rumah tangganya di laman sosialnya itu dan telah mengundang pelbagai reaksi di kalangan peminat dan pihak media.

Abby, 37 telah bernikah dengan Farhan, 24 pada pertengahan tahun lalu iaitu sehari sebelum menjelangnya bulan Ramadan dan pernah berkahwin dengan Norman serta dikurniakan tiga orang cahaya mata. -My.entertainment.yahoo.com

Izreen Azminda Kena Cerai Di Lokasi Penggambaran!

Pelakon popular, Izreen Azminda mengesahkan bahawa hubungannya dengan Muhammad Riza sudah berakhir.


Riza dilaporkan menceraikan Izreen di lokasi penggambaran di Pulau Pinang setelah berlaku pertengkaran di antara mereka.

Lafaz cerai itu berlaku pada 16 Mei lalu di set penggambaran terbaharu membabitkan lakonan Izreen yang turut disaksikan beberapa kru dan pelakon lain.

“Ya, kami sudah tiada apa-apa ikatan lagi. Tiada jodoh antara kami. Saya pasrah dengan ketentuan ini. Cuma buat masa ini saya enggan mengulas lanjut dan saya ia tak perlu diperbesarkan.

“Mungkin ini sudah tertulis dan langkah terbaik buat saya dan dirinya. Beliau lelaki yang baik yang pernah hadir dalam hidup saya. Hidup harus diteruskan dan paling utama ialah saya ada anak untuk dibesarkan,” katanya dipetik akhbar tempatan, hari ini.

Izreen Azminda dan Muhammad Riza berkahwin pada 31 Ogos 2012 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Adrian Umar yang kini berusia 10 bulan. -Sinar Harian

Tuah Janda Berhias

Benar kata orang, cinta tidak kenal rupa, usia atau status. Cuma tak tahulah tuan punya badan sama ada suka atau tidak perkhabaran terbaru ini.


Dengarnya pelakon popular sepanjang zaman, Liza Abdullah yang baru memegang status janda, kini diintai jejaka muda.

Kata sumber, sudah lama jejaka ini menyimpan perasaan terhadap Liza, tambah pula mereka selalu bertemu di set penggambaran.

Jejaka dimaksudkan ini turut bekerja dalam produksi yang Liza selalu terbabit dalam penggambaran. Sering bekerjasama akhirnya membuahkan perasaan cinta.

Baguslah kalau begitu. Sekurang-kurangnya mereka berada dalam bidang sama. Sudah faham dan tahu cara kerja, jadi kalau ada apa-apa berlaku tidaklah nanti menjadi isu dan mencetuskan rasa cemburu.

Namun kata sumber itu lagi, jejaka terbabit tidak mahu meluahkan hati dan perasaannya sekarang kerana tahu pelakon itu dalam tempoh edah. Selepas itu, mungkin dia akan menyatakan apa yang terbuku dalam jiwanya selama ini.

Untungnya perempuan cantik macam Liza. Hari ini diceraikan suami, esok beratur orang nak tumpang berkasih sayang. Meredap juga hati kita mendengar cerita ini.

Mana tidaknya, Liza sudah mahu masuk lima siri tapi masih digilai ramai. Sedangkan Cik Pang ni, abang drebar teksi pun tak nak mintak. Habis macam mana? -Hmetro

Tasha Shilla Harap Kontroversi Selesai

Sejak munculnya laman sosial seperti Instagram, Twitter dan Facebook, golongan selebriti tidak terlepas menjadikannya sebagai medan untuk berkongsi pelbagai perkara dengan peminat.

Tasha bersama teman lelakinya, Hans seorang jaguh Muay Thai.

Sememangnya ia satu perkembangan positif kerana mampu merapatkan jurang antara artis dan peminat biarpun sekadar berinteraksi di alam maya.

Bagaimanapun, ia memberi impak positif dan negatif. Kadang-kadang kita sendiri tidak menyedari perkara yang dikongsikan seperti sekeping gambar mahupun kata-kata mampu menimbulkan reaksi tidak dijang­ka.

Begitulah juga yang terjadi kepada pelakon jelita Natasha Sheila Abdul Razak atau Tasha Shilla, 27, baru-baru ini apabila gambar perubahan pada buah dada­nya ternyata menjadi bualan hangat dan diperbesarkan.

Hanya kerana sekeping gambar itu, pelakon terbabit terpalit dengan pelbagai dakwaan mempersoalkan adakah benar perubahan itu disebabkan pengambilan produk ataupun ‘dibuat’.

Mana tidaknya, gambar itu juga sekali gus menjadi ‘viral’ sehinggakan Ta­sha sendiri terpaksa tampil de­ngan penjelasan dan ter­nyata perubahan itu memang hasil daripada pe­ngambilan produknya.

Apapun, sudah menjadi adat di mana ada saja di luar sana yang tidak puas-hati dan masih berteka-teki, Wartawan RAP, Georgie Joseph (georgie@hmetro.com.my) mendapatkan sendiri penjelasan daripada Tasha, baru-baru ini.

RAP: Selepas isu itu menjadi besar dan gambar berkenaan tersebar, apakah perasaan Tasha pada ketika itu? Malu, terhina, tertekan?

TASHA: Saya sebenar­nya tidak rasa malu ataupun terhina tetapi apa yang paling mengecewakan saya apabila membaca komen-komen agak kasar pada gambar itu. Namun saya tidak nafikan agak tertekan juga kerana niat saya semata-mata adalah untuk berkongsi tapi bertukar sebaliknya pula dan disalah­ertikan.

RAP: Apakah pengajaran yang Tasha dapat daripada isu berkenaan?

TASHA: Pastinya saya lebih berhati-hati selepas ini sebelum berkongsi sesuatu. Banyak perkara yang kita tidak boleh jangka dan kalau beringat macam mana pun kesannya sukar diduga.

RAP: Bercakap mengenai produk kecantikan itu sendiri, adakah penting bagi Tasha untuk mengambil pendekatan sebegitu?

TASHA: Bagi saya memang penting kerana sebelum menjadi artis pun saya sudah mula mengamalkan pengambilan pelbagai produk seperti jamu. Apabila ada produk sebegitu, sebagai wanita penjagaan keseluruhan badan itu sangat penting untuk tampil lebih yakin. Bagaimanapun, perlu berhati-hati juga apabila memilih produk.

RAP: Adakah Tasha berpuas hati dengan bentuk badan sekarang?

TASHA: Sangat berpuas hati kerana mungkin lain orang lain caranya tapi untuk saya tampil lebih yakin, kecantikan tubuh badan itu adalah perkara yang sa­ngat saya titik beratkan. Bagaimanapun, untuk mencapai bentuk badan yang cantik tidak semestinya bergantung kepada produk saja, namun perlu seiring dengan senaman juga.

RAP: Lupakan mengenai isu berkenaan, Tasha se­olah-olah kurang kelihatan di kaca TV sekarang.

TASHA: Sebenarnya sejak enam bulan yang lalu saya sibuk menjalani penggambaran tanpa henti dan banyak produk saya belum ditayangkan setakat ini. Itulah sebabnya saya kurang kelihatan dan sekarang ini pun saya sedang menjalani penggambaran untuk drama Aku Tak Sempurna, Kasih Berbisik dan beberapa drama hari raya.

RAP: Kerap kelihatan tampil bersama kekasih, bagaimana pula titik kemuncak hubungan anda berdua?

TASHA: Biarlah kami merancang saja dan Tuhan menentukan selebihnya.

Sumber: Harian Metro

Yusof Haslam Kecewa Lembaga Penapisan Filem Berat Sebelah

Dengan pelbagai elemen menghiburkan diadun ke dalam penceritaan filem Abang Long Fadil antaranya babak Imej Janaan Komputer (CGI) inspirasi watak Bumblebee daripada filem Transformers, pastinya klasifikasi di bawah kategori 18PL sedikit mengecewakan pengarahnya, Syafiq Yusof dan Datuk Yusof Haslam selaku produser filem ini.


Yusof Haslam yang ditemui pada sidang media selepas majlis pratonton filem ini malam kelmarin mengakui berasa ralat dengan keputusan Lembaga Penapisan Filem (LPF) itu.

“Terus terang saya berasa sedikit kecewa dan tidak tahu mengapa LPF akhir-akhir ini menjadi terlalu tegas. Pihak di sana memaklumkan mereka menonton ini sebanyak tiga kali kerana cuba untuk memberikan P13, tetapi akhirnya terpaksa mengkategorikannya sebagai 18PL.

“Filem antarabangsa Godzilla lagi dahsyat unsur ganas yang diketengahkan, tetapi diluluskan sebagai P13. Hendak bantu industri filem kalau beginilah caranya, kita fikirlah sendiri.

“Saya sebagai Presiden Persatuan Pengeluar Filem merasakan perkara sebegini tidak seharusnya berlaku, apatah lagi keadaan suasana pasaran filem tempatan yang merudum sekarang ini.

“Sebagai orang lama dalam industri perfileman, saya sendiri apabila terdapat babak yang rasanya tidak sesuai, kita sendiri akan potong. Untuk pengetahuan ramai, sebanyak sembilan babak dalam filem ini dibuang,” katanya.

Yusof berkata, kebanyakannya adalah babak komedi yang boleh membuat penonton mengekek ketawa tetapi pihak LPF mendapati ia ada unsur ‘double meaning’, jadi kita akur dengan keputusan itu. Kita tidak menafikan peranan mereka walaupun ada drama televisyen yang lebih ekstrem serta berbaur lucah tetapi boleh pula lepas,” jelasnya.

Beliau berkata, pembikin filem tempatan walaupun ramai semakin berani melakukan eksperimen tetapi belum sampai ke tahap ekstrem. Malah, sebagai pembikin filem, dia setuju jika ada filem tempatan yang melanggar tatasusila, adat dan sebagainya harus diberi pemantauan yang ketat.

Syafiq pula ketika diminta bercerita mengenai idea pembikinan Abang Long Fadil berkata, ia sebuah karya bercita rasa filem antarabangsa dari segi garapan dan pengarahannya.

“Pembikinan filem ini diinspirasikan daripada filem Hollywood, Hong Kong dan Tamil seperti Padayappa, Kungfu Hustle dan Bad Boys. Memandangkan Abang Long Fadil sebuah filem komedi, saya boleh bereksperimen selain memaksimumkan penggunaan CGI. Apabila bercakap mengenai CGI, ia sinonim dengan watak dalam Transformers,” katanya.

Salah satu babak.

Ditanya adakah dia tidak bimbang dikatakan mencuri idea dan dikenakan sebarang tindakan menggunakan dua watak seakan-akan Iron Man dan Bumblebee itu, Syafiq berkata, watak CGI yang ditampilkannya itu hanya menyerupai tetapi tidak 100 peratus.

Apa yang menarik mengenai filem ini, dalam memberi hiburan kepada penonton, ia diperkuatkan dengan isu mempertahankan harta orang Melayu apabila memilih Kampung Baru sebagai simbolik memandangkan kawasan penempatan yang bernilai ratusan juta ringgit itu menjadi rebutan banyak pihak untuk melaksanakan projek pemba–ngunan.

Abang Long Fadil adalah sebuah filem gengster komedi berbentuk parodi dan yang lebih menarik lagi, ia adalah kesinambungan daripada filem KL Gangster arahan abangnya, Syamsul Yusof yang pernah mencipta sejarah kutipan ‘box-office’ tertinggi dalam industri perfileman tanah air pada 2011.

Selain Zizan Razak selaku Abang Long Fadil, filem yang menggunakan hampir 60 peratus teknik kesan khas dan bakal menjengah pawagam pada 29 Mei ini, turut menampil–kan pelakon hebat lain antaranya Aaron Aziz, Syamsul Yusof, Kamal Adli, Soffi Jikan, Tauke Raja Lawak, Yassin Senario, Arman Graseka dan Harun Salim Bachik. -Harian Metro

Kalau Tak Nampak Sila Pakai Kanta, Kata Che Ta

Kontroversi dan Rozita Che Wan atau Che Ta, bagai aur dengan tebing, tidak dapat dipisahkan.


Pasti akan ada sahaja cerita hangat terbaharu yang dikaitkan dengan pelakon cantik ini.

Terbaharu, namanya kembali naik apabila gambar mesranya bercium dengan suami, Zain Saidin hangat diperkatakan umum.

Namun menurut Che Ta, dia langsung tidak mencium suaminya sebaliknya mereka hanya berpandangan dari jarak dekat sehingga menampakkan seolah-olah mereka sedang bercium.

“Orang buta kalau lihat gambar itu pun tahu saya tidak bercium. Sebaliknya, kami hanya ambil gambar pandang suami saya dengan jarak yang cukup dekat. Kalau tidak nampak, sila pakai kanta,” katanya memetik laporan sebuah akhbar, hari ini.

Walaupun sering kali dikaitkan dengan pelbagai cerita kurang enak, perkara tersebut tidak membuatkannya serik untuk memuat naik gambar di laman sosialnya.

Ini kerana menurut Che Ta, peminat ada pilihan sama ada mahu mengikuti perkembangannya di media sosial mahupun tidak, malah mengatakan ia adalah haknya untuk memuat naik apa-apa gambar sekali pun di laman Facebook mahupun Instagram. -Mynewshub.my

Idayu AF Musim 3 Bergelar Isteri Selepas 12 Tahun Bercinta

Dalam diam-diam rupa-rupanya, penyanyi kelahiran Akademi Fantasia musim ketiga (AF3), Nor Farah Idayu Yaakub, 29, telah sah bergelar isteri kepada kekasih hati, Shahrul Fadzil, Khamis lalu.


Majlis pernikahan kedua mempelai telah diadakan di kediaman keluarga Idayu yang terletak di Pasir Hor, Kota Bharu, Kelantan.

Idayu sah bergelar isteri dengan sekali lafaz serta menerima mas kahwin dan wang hantaran RM15,000.

Hubungan pasangan ini terjalin sejak memasuki alam pengajian tinggi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) sejak 12 tahun lalu.

“Kami sama-sama menuntut dalam jurusan muzik di UiTM. Kami bercinta sejak 2002 sebelum membuat keputusan untuk bertunang pada Ogos tahun lalu,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Tahniah diucapkan buat Idayu dan suami, semoga ikatan suci yang dibina akan berkekalan hingga ke akhir hayat.

Shira Luka Di Belakang Kepala Selepas Terjatuh

Malang tak berbau. Itulah yang terjadi kepada aktres serta penyampai radio Ultra FM, Sharifah Shahira atau lebih dikenali sebagai Shira apabila dia mengalami pendarahan di belakang kepala akibat terjatuh sewaktu menjalani penggambaran sebuah game show, baru-baru ini.


Memetik Malaysian Digest, Shira menceritakan kejadian berlaku disebabkan dia mahu mengelak sebuah kereta, dan tak semena-mena dirinya hilang kawalan dan terus terjatuh.

“Saya jalani penggambaran satu program game show. Pada waktu itu memerlukan saya berlari. Entah macam mana saya nak elak kereta, dalam sekelip mata saya terus jatuh terlentang. Saya tak ingat sangat apa yang berlaku.

“Semasa jatuh tu saya masih sedar lagi. Tapi dalam masa beberapa minit tu saya terus tak ingat apa-apa. Sampai di hospital baru saya dapat ingat sikit-sikit apa yang berlaku sebelum itu,” ulasnya lagi.


Shira mendapat rawatan di KPJ Tawakal dan telah diberikan cuti sakit selama lima hari oleh doktor yang merawatnya.

Mengenangkan insiden tersebut, Shira sempat berseloroh mengatakan, “inilah akibatnya kalau main game show pada waktu Maghrib…,”.

Sofia Arissa Nama Anak Liyana Jasmay

Mengambil keberkatan hari ketujuh kelahiran anak perempuannya, Liyana Jasmay mengumumkan nama anak sulungnya di laman Instagram.


Puteri sulungnya itu diberi nama Sofia Arissa dan Liyana turut berkongsi gambar anaknya buat pertama kalinya di Instagram.

Liyana selamat melahirkan Sofia Arissa pada 12 Mei lalu di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur pada jam 7.40 malam secara normal.


Pelakon genit berusia 26 tahun itu kini sedang berpantang di kediaman ibu bapanya di Kuala Lumpur.

Untuk makluman anda, Liyana dan suami, Mohd Fathuddin mendirikan rumah tangga pada 2 Februari tahun lalu di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.

Tahniah diucapkan buat Liyana dan suami! -Mynewshub.my

Siti Saleha Berselera Dengan Lelaki Mat Salleh Sahaja!

Pelakon Siti Saleha mengakui yang dia selesa dan hanya meminati lelaki yang mempunyai darah kacukan sepertinya.


Jika diperhatikan bekas-bekas teman lelakinya sebelum ini turut mempunyai darah kacukan, antaranya adik pelakon Sharifah Sofia, Syed Adney Syed Hussein dan Robin Coenraad.

Terbaharu, si cantik manis ini juga mengakui dia sedang menjalinkan hubungan dengan seorang jejaka yang memiliki darah kacukan.

Walau bagaimanapun, Saleha enggan mendedahkan nama kekasihnya kepada pihak media dan umum.

“Sejujurnya, selera saya memang lebih kepada lelaki berdarah kacukan. Tapi itu tidak bermaksud saya tak pandang langsung lelaki tempatan,” katanya memetik laporan sebuah akhbar.

Mengulas lanjut ciri-ciri yang menyebabkan dirinya jatuh cinta dengan jejaka yang bertaktha di hatinya kini, Saleha, 24, mengatakan kekasihnya seorang yang penyayang dan matang selain mereka serasi di antara satu sama lain.

Walaupun sudah bertemu jejaka idaman, namun aktres ini menegaskan dia masih belum bersedia untuk melangkah ke alam rumah tangga kerana usianya yang masih muda serta belum terfikir ke arah itu.

Tasha Bantu Kekasih Bertarung!

Beruntunglah kekasih hati pelakon jelita Tasha Shilla, Han Chen Wong, 24, kerana mendapat sokongan padu daripada buah hatinya itu sewaktu perlawanan Ladder Match Malaysia Mixed Martial Arts (MIMMA 2), semalam.


Kehadiran Tasha yang turut berada di gelanggang sebagai ‘cornerwoman’ itu nyata menaikkan semangat Han hingga dia berjaya memenangi pertandingan itu.

Memetik mStar Online, Han berkata, ini merupakan kali pertama dia menyertai MIMMA dan kehadiran kekasihnya itu membuatkan dia lebih yakin untuk bertarung.

“Dari jauh saya dengar suaranya memberikan kata-kata semangat dan kehadirannya membantu saya untuk memenangi pertandingan itu,” ujarnya.


Tasha yang ditemui pula mengakui gembira kerana dapat memberi sokongan kepada Han kerana sebelum ini kekasihnya itu juga sentiasa menemaninya ke majlis hiburan.

Baguslah jika kedua-duanya sentiasa menyokong karier satu-sama lain.

Sebabnya, ramai selebriti yang memberi alasan tiada persefahaman apabila hubungan cinta terputus di tengah jalan.

Stacy Nafi Tiru Imej Miley Cyrus

Sebenarnya isu dikatakan meniru selebriti popular Hollywood, Miley Cyrus bukan baharu dikaitkan dengan penyanyi yang terkenal dengan seni tarian lincah, Stacy Angie Anam atau Stacy.


Malah, penulis rasakan Stacy pun sudah jemu apabila imejnya kerap kali dikatakan meniru penyanyi antarabangsa itu.

“Saya tidak meniru mana-mana imej artis yang dikaitkan dengan saya. Apabila saya memotong rambut sebegini ramai yang beranggapan saya mahu meniru Miley, walhal rambut sebegini sudah lama difesyenkan. Lagipun mungkin sekarang ini tengah ‘in’.

“Tapi sebenarnya tiada apa pun yang sama yang penting untuk album kali ini saya ingin menampilkan konsep yang lebih baru dan segar daripada sebelum-sebelum ini,” katanya dipetik menerusi portal Rotikaya.

Sementara itu, dalam perkembangan terbaharu, Stacy sudah pun mengeluarkan album terbaharu berjudul #1 yang menampilkan single popularnya, Gilalah.

Dibawah penulis sertakan muzik video Gilalah yang sangat ‘chic’ dan kena dengan imej warna-warni Stacy. -Mynewshub.my



Anak David Beckham Kerja Kedai Kopi?

London – Ibu bapanya adalah individu kaya dengan pendapatan dianggarkan bernilai RM533 juta. Namun Brooklyn Beckham yang merupakan anak kepada pasangan terkenal David Beckham dan Victoria diajar supaya berdikari.


Remaja berusia 15 tahun itu diajar menghargai wang, bagaimana caranya? Iaitu dengan bekerja pada hujung minggu di sebuah kedai kopi, dengan pendapatan kira-kira RM15 sejam.

Bagaimanapun disebabkan usianya bawah umur, dia tidak boleh bekerja lebih tujuh jam sehari. Brooklyn sebaliknya perlu diberikan waktu rehat selama sejam selepas empat jam bekerja.

Salah seorang pekerja di kedai kopi itu memberitahu, Brooklyn telah bekerja di situ dan hubungannya dengan pembancuh kopi yang lain adalah baik.

Cerita mengenai Brooklyn yang bekerja bagi mencari duit sendiri itu meskipun ibu bapanya adalah orang kaya telah menjadi contoh kepada remaja lain.

Dia mendapat pujian daripada orang ramai di media sosial kerana sanggup bekerja di situ walaupun boleh hidup mewah.

Dalam pada itu, sumber rapat keluarga Beckham berkata, pasangan berkenaan memang menggalakkan anak mereka bekerja.

Beckham yang mempunyai tiga anak lain iaitu Romeo, 11, Cruz, sembilan dan Harper, dua, memang selama ini mengajar anak-anak mereka mengenai kerja keras.

Sebelum ini, Beckham dilaporkan memberitahu bahawa dia dan Victoria cuba menjadikan diri mereka sebagai contoh yang baik kepada anak-anak mereka.

“Salah satu perkara yang saya dan isteri saya lakukan ialah kami sering bersama anak-anak kami kerana mereka adalah keutamaan kami, dan kerja keras merupakan salah satu perkata untuk ditunjukkan kepada anak-anak kami,’’ katanya.

Rumahtangga Abby Abadi Bergolak?

Nampaknya selepas kisah perceraian yang melanda Fiza Abdul Halim, rumahtangga rakannya, Abbdy Abadi pula yang dilihat seperti bermasalah.


Ia dikesan melalui satu gambar Abby bersama suaminya, Muhammad Noor Farhan yang disertakan dengan ‘caption’:

“Dari awal kenal……. beli cincin……. uruskan pernikahan…. nikah……. saat2 indah…. dugaan bersilih ganti…… ujian datang & pergi………. Akhirnya….. Mohon doa kalian..Doakan yg terbaik utk kami….Untuk yg terakhir kali…”

Lain macam bunyinya. Adakah ini petanda rumahtangga mereka sedang bergolak?

Jika sebelum ini Fiza pernah mendakwa salah satu faktor keruntuhan rumahtangganya ialah kerana komen-komen negatif yang diterimanya di akaun Instagram, kami harap masalah rumahtangga Abby bukan disebabkan perkara yang sama.

Lagipun, rasanya tak perlulah semua perkara peribadi diceritakan di laman sosial.

Lebih baik selesaikan terlebih dahulu dengan pasangan selagi masih mampu, betul tak?

Pasangan ini telah mendirikan rumahtangga pada Julai tahun lalu dan ia merupakan perkahwinan kedua buat Abby selepas bercerai dengan pelakon Norman Hakim.

Apapun, kita nantikan saja penjelasan daripada Abby atau Farhan nanti.

Che Ta Dan Zain Tayang Gambar Bercumbu Pula!

Belum pun reda isu gambar ‘mesra’ pasangan Zain Saidin dan Rozita Che Wan atau Che Ta di atas katil baru-baru ini, muncul satu lagi gambar yang tidak kurang kontroversinya.


Gambar yang dimuatnaik Che Ta itu memperlihatkan kedua-duanya sedang bercumbuan di hadapan Eiffel Tower di Paris.

Ia sekaligus mewujudkan dua blok di kalangan pengikutnya di akaun Instagram.

Ada yang menyokong dengan menganggap ia perkara yang halal untuk dilakukan oleh suami-isteri, manakala ada yang membantah atas alasan kemesraan suami-isteri perlu ada batasnya pada pandangan umum.


Bagi kami pula, tak salah jika hendak mempamerkan kasih-sayang antara suami-isteri kepada umum.

Tetapi berpada-padalah mengikut adat, budaya dan agama kita yang cukup menekankan ciri-ciri kesopanannya.

Rasanya, kalau tak tunjuk adegan mesra pun, orang luar tahu Zain dan Che Ta memang sedang ‘mabuk’ diulit cinta. -Mynewshub.my

Miranda Kerr Dan Orlando Bloom Masih Rapat

Perceraian antara pelakon Orlando Bloom dan supermodel Miranda Kerr pada Oktober tahun lalu ternyata tidak menggoyahkan hubungan erat antara kedua-duanya.


Ia agak mengejutkan ramai pihak sewaktu majlis gala di Sydney.

Apa tidaknya, Orlando yang sebelum ini pernah dikaitkan dengan Selena Gomez telah menghubungi Miranda menerusi aplikasi panggilan video, FaceTime dan supermodel itu dilihat begitu gembira, memetik Daily Mail.

“Dia meminta kami mengucapkan ‘hai’ kepada Orlando,” ujar seorang wartawan yang duduk di sebelah Miranda pada ketika itu.

Supermodel itu pernah dikaitkan dengan beberapa orang ternama selepas perceraiannya, namun sehingga ke hari ini dia masih menafikannya.

“Tiada teman lelaki. Hanya pertemuan biasa dengan mereka. Saya masih solo dan fokus terhadap anak dan karier sahaja,” katanya.

Mungkinkah ini bemakna Miranda masih mengharapkan hubungannya dengan bekas suaminya itu akan bertaut kembali?

Rihanna Derma $25,000 Kepada Yayasan Polis LA

Apabila Rihanna menjatuhkan telefon bimbit milik seorang pegawai polis, dia bukan sahaja meminta maaf sebaliknya melakukan lebih lagi.


Iaitu dengan menderma sebanyak $25,000 kepada Yayasan Polis Los Angeles.

Insiden itu berlaku selepas penyanyi pop berkenaan menyaksikan perlawanan bola keranjang. Rihanna duduk berhampiran Presiden Pesuruhjaya Polis Los Angeles, Steve Soboroff.

Memandangkan kedua-duanya memakai gelang tangan Polis Los Angeles berwarna biru itu, mereka kemudiannya bergambar bersama.

Ketika Rihanna cuba mengambil gambar mereka berdua, dia telah menjatuhkan telefon bimbit Soboroff.

Penyanyi itu kemudiannya meminta maaf dan telah mengumumkan akan menderma sebanyak $25,000 kepada yayasan polis.

Rihanna turut menandatangani telefon bimbit itu supaya ia dapat dilelong menerusi eBay, dan kutipan wang itu boleh disalurkan kepada yayasan berkenaan.

Bida terakhir yang tertinggi setakat ini berjumlah $10,100.

"Itu Bukan Gambar Terlampau"

“Saya tidak kisah mengenai perkara itu. Muat naiklah gambar apa-apa pun, pasti ada kontroversi juga.


"Saya dah tahu, pasti ia akan menjadi buah mulut orang ramai," komen Zain Saidin mengenai gambar romantis yang dimuat naik olehnya dan isteri Rozita Che Wan atau lebih mesra disapa Che Ta di laman sosial Instagram masing-masing, baru-baru ini.

Dek tindakan itu, ramai yang mengkritik mereka kerana menyifatkan gambar itu terlalu peribadi dan bukannya menjadi tatapan umum sebegitu.

Begitupun, Zain menjelaskan yang dia tidak terkejut dengan reaksi orang ramai itu kerana sudah biasa dengan situasi berkenaan.

"Apa saja yang melibatkan Che Ta, pasti akan timbul kontroversi. Padahal gambar itu tiada isu apa-apa pun," katanya kepada media ketika ditemui selepas melancarkan sitkom popular Oh My English (OME) musim ketiga, baru-baru ini.

Katanya, gambar yang dimuat naik itu tidaklah melampau sebaliknya dia ingin menunjukkan rasa teruja dengan percutian mereka.

"Ini adalah gambar pertama yang diambil sebegini. Gambar ini tidak menggambarkan apa-apa pun, sebaliknya kami ingin berkongsi rasa seronok kami," katanya.

Ketika ditanya adakah dia akan memadamkan gambar tersebut dari laman sosial Instagram, Zain bagaimanapun memberitahu, dia tidak akan berbuat demikian selagi ia tidak menjejaskan kerjayanya dan juga nama baik keluarganya.

"Janji gambar yang dimuat naik itu tidak membawa maksud atau menunjukkan sesuatu yang sangat melampau untuk dilihat umum.

"Setakat ini, ia tidak langsung menjejaskan kerja dan nama baik keluarga saya.

"Biar sajalah. Saya tak akan padam," katanya.

Berdebar jadi ayah

Dalam pada itu, Zain turut melahirkan perasaan teruja dan berdebarnya apabila bakal bergelar ayah tidak lama lagi.

Kini, usia kandungan Che Ta sudah pun memasuki tiga bulan.

Setakat ini, baik Zain mahupun Che Ta masih lagi belum membuat apa-apa persiapan dalam menyambut cahaya mata pertamanya itu.

"Kami masih belum lagi membuat apa-apa persiapan. Tapi, kami ada menerima hadiah katil bayi masa hari kahwin hari itu.

"Mungkin kami akan membeli barang-barang bayi sebagai persiapan di luar negara sedikit demi sedikit," katanya.

Zain memberitahu, dia tidak kisah jantina anaknya sebaliknya bersedia menerima apa saja yang dikurniakan ALLAH SWT.

"Saya tahu Che Ta mahukan anak perempuan, tapi saya tak kisah," katanya. -Sinar Online

Peminat BENCI Rambut Blonde Adam Levine?

Jejaka yang pernah dinobatkan sebagai Lelaki Paling Seksi Dunia, Adam Levine memeranjatkan sebilangan peminatnya dengan imej rambut terbaharu berwarna blonde.


Gambar rambut blondenya itu dikongsikan Adam menerusi Twitternya, yang turut menampilkan tunangnya, model popular, Behati Prinsloo.

Namun, bukan semua peminatnya menggemari imej terbaharunya itu malah dia menerima tweet yang membidas tindakannya mewarna rambut dengan warna sebegitu berani buat lelaki.


Menyedari respons daripada peminatnya, Adam membalas di Twitter, “I hope people understand that when they say my hair looks creepy i take that as the highest compliment” (Saya harap peminat faham bila mereka kata rambut saya buruk, saya mengambilnya sebagai satu pujian). -Mynewshub.my

Gambar Terlebih Mesra Che Ta Dan Zain

Selepas Diana Danielle memuat naik gambar mesra bersama suaminya, Farid Kamil minggu lalu, terbaharu trend bergambar mesra di antara suami isteri semakin menjadi trend pula apabila pelakon bergetah, Rozita Che Wan juga memuat naik gambar mesra bersama suami.


Dengan berlatar belakangkan katil bersama kelopak bunga mawar, pasangan romantis ini bergambar mesra dengan Zain tidak berbaju sementara Che Ta hanya bersinglet putih.

Pasangan yang dinikahkan pada 11 Disember tahun lalu itu kini sedang bercuti di Koh Samui, Thailand.

Ada peminat yang suka melihat keromantikan pasangan ini namun tak kurang juga yang menasihati agar perkara dalam kain tidak perlu dikongsikan bersama orang luar.

Mungkin ada yang beranggapan perkongsian gambar-gambar sebegini tidak sesuai dengan orang Timur yang terkenal dengan adat sopannya.

Apa pula pandangan anda terhadap trend perkongsian gambar terlampau mesra di media sosial? -Mynewshub.my

Rebecca Bergaya Sakan Dengan Gaun Seksi!

Tidak serik-serik. Itulah yang dilakukan oleh pelakon Rebecca Nur Al Islam apabila dia sekali lagi mengenakan pakaian yang tidak sesuai dengan imej bertudungnya.


Menerusi gambar yang tersebar di Internet yang diambil dari akaun Instagram rakannya, dia dilihat mengenakan tudung yang dipadankan dengan gaun sendat paras betis.

Kami tidak pasti sama ada dia turut mengenakan legging berwarna kulit atau tidak, namun keseluruhannya gayanya memang serba tak kena.


Sebelum ini, Rebecca dikritik hebat kerana busana ala Teletubbies ketat yang dipakainya sehingga menampakkan susuk tubuh.

Rasanya selepas ini, Rebecca mungkin perlu merujuk majalah fesyen muslimah agar pemakaiannya selepas ini lebih sempurna selari dengan imej bertudungnya. -Mynewshub.my

Seluar Dalam Farawahida Jadi Ejekan Peminat

Dalam kegembiraan penyanyi Farawahida Razali bergelar isteri kepada jejaka pilihan hati, Abdul Shukur Mohd Zain, timbul pula kontroversi lain membabitkan dirinya yang tidak sedap didengar.


Kontroversi itu berkaitan dengan sekeping gambar Farawahida yang diambil dari akhar Kosmo telah menjadi bahan bualan mulut gatal penggiat-penggiat laman sosial.

Perkara yang dipertikaikan mereka ialah garis seluar dalam Farawahida yang ketara dilihat di sebalik skirt merah jambu yang dipakainya.

Susulan itu, ada peminat menyarankan agar penyanyi lagu Tanpamu itu memakai seluar dalam jenis g-string bagi mengelakkan kejadian sama berulang kembali.

Macam-macam pula dengan karenah dan kelakuan peminat di laman sosial.

Tak senang dibuat mereka hidup sebagai seseorang selebriti itu. Kesian pula dengan Farawahida yang baru berkahwin. [Sumber]

Ariel Noah Gembira Kekasih Peluk Islam

Vokalis kumpulan Noah, Ariel, 32, dilihat gembira dengan khabar mengenai kekasihnya, Sophia Mueller, 43, yang kini sudah memeluk agama Islam.


Namun, ketika diminta memberi komen mengenai perkara itu, Ariel hanya menjawab ‘nice (bagus)’ sahaja, memetik laporan Kompas.

Ramai yang mengandaikan Sophia memilih untuk memeluk Islam kerana mahu mendirikan rumahtangga bersama jejaka itu.

Bagaimanapun, ia dinafikan oleh penyanyi dan model ini yang mengatakan ia berlaku kerana dirinya sendiri dan bukan kerana Ariel.

“Saya menjadi mualaf bukan kerana sesiapa. Ini adalah hubungan saya dengan Tuhan, bukan kerana mahu apa-apa,” ujarnya.

Sophia sebelum ini pernah gagal dalam rumahtangganya sebanyak dua kali.

Biar pun perbezaan usia antara dia dan Ariel agak ketara, namun ia bukanlah penghalang untuk kedua-duanya bersatu jika itu ketentuan-Nya.