Hadiah Alyssa Buat Suami

Pelakon popular sinetron Indonesia, Dude Harlino, 33, dan Alyssa Soebandono, 22, sah bergelar suami isteri pada 22 Mac lalu dan mereka kini bahagia berbulan madu di Istanbul, Turki kemudian terus ke Makkah untuk menunaikan umrah.


Sebagaimana pasangan artis lain, Dude dan Alyssa juga mempunyai laman sosial Facebook (FB) bersama dan gambar perkahwinan serta bulan madu turut dikongsi bersama peminat.

Menariknya, Alyssa yang popular melalui sinetron Upik, Abu dan Laura, Alisa serta Kejora dan Bintang merahsiakan hasratnya berhijab daripada suami hinggalah dipertemukan pada majlis pernikahan mereka sebaik disahkan suami isteri.

Ketika akad nikah, Dude tidak ditemani Alyssa sebagaimana kebiasaan pasangan di Indonesia tetapi pengantin perempuan disembunyikan. Sebaik penghulu mengesahkan Dude suami Alyssa, pasangan ini dipertemukan.

Detik itu menjadi momen indah buat pelakon Ketika Cinta Bertasbih itu sebaik saja melihat wajah isterinya.

Jelas terpancar wajah bahagia dan kagum melihat penampilan isterinya ketika Alyssa berjalan perlahan-lahan ditemani ibu bapanya menuju arah Dude dengan kebaya dan berhijab.

Itulah penampilan pertamanya menutup kepala dan hanya dilakukan pada saat akhir menjelang pernikahan. Tetamu yang hadir pada maj lis pernikahan di Gedung Sasana Kriya, Taman Mini Indonesia Indah, Jakarta itu memuji kejelitaan Alyssa dengan hijab yang menutupi rambut panjangnya.

Pelakon kelahiran Jakarta pada 25 Disember 1991 itu menafikan berhijab atas permintaan Dude sebelum nikah. Katanya, pada hari pertama membincangkan pernikahan, Dude yang lebih tua 10 tahun darinya (dilahirkan 2 Disember 1980) tidak memaksa apapun.

Bagi Alyssa, niatnya berhijab bukan semata mahu kelihatan cantik, tetapi kerana rasa ikhlas untuk mendapatkan kebaikan.

“Semua ada prosesnya dan saya tidak mahu dipaksa. Saya ingin ikhlas dan mendapatkan berkat. Biar saya saja yang tahu melakukan sesuatu yang baik,” katanya.

Kata Alyssa, dia juga tidak kisah jika selepas ini tawaran berlakon berkurang, apatah lagi masih terikat kontrak dengan produk berkaitan rambut.

Malah, suaminya juga berpesan supaya tidak takut kehilangan rezeki apabila menjalankan kewajipan berhijab sebagai Muslim.

“Saya mahu taat sebagai perempuan, ada baiknya dilakukan. Mulai sekarang sampai nanti semoga boleh dijalankan (berhijab),” katanya.

Dude yang sebelum ini sering dikaitkan dengan pelakon gandingannya seperti Citra Pranandita, Nikita Willy, Naysilla Mirdad, Velove Vexia, Deasy Bouman, Asmirandah dan terakhir, Mey da Shafira, tidak mengambil waktu lama bercinta dengan Alyssa.

Tidak sampai setahun, Dude menghantar rombongan meminang Alyssa pada 23 Februari lalu. Alyssa akui peribadi Dude sangat meyakinkan hatinya. Caranya banyak berkomunikasi dan bertukar-tukar fikiran membuatkan hatinya tertarik.

“Kami masuk ke pintu gerbang yang baru dan kami harus belajar. Mudah-mudahan Allah beri kejayaan,” katanya. -Hmetro

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Apa kata anda komen sedikit..;) EmoticonEmoticon