Syamsul, Puteri Sarah Nikah Februari

Ketika filem arahannya, KL Gangster 2 bocor di internet sebulan sebelum ditayangkan tahun lepas, Syamsul Yusof pernah ditebak tentang hubungannya dengan pelakon Puteri Sarah.


Syamsul pernah bertegas, dakwaan dia bercinta dengan Puteri Sarah hanyalah gosip semata-mata malah bermati-matian meyakinkan para peminat bahawa mereka hanya sekadar berkawan. Hubungan Syamsul dengan Puteri Sarah hangat diperkatakan media dan peminat sejak sekitar penghujung tahun 2012 lagi. Ketika itu, Puteri Sarah baru sahaja putus cinta dengan bekas kekasihnya Ammar Alfian Aziz, yang juga seorang pelakon.

Memetik laporan akhbar pada Mei lalu, Syamsul dan Ammar yang ditemukan di Publika, Kuala Lumpur nyaris bertumbuk. Ammar dilaporkan tidak dapat menerima kenyataan bahawa Puteri Sarah ketika itu sudah semakin serius menjalin hubungan dengan Syamsul.

Masuk tahun 2014, dalam diam-diam, hubungan yang awalnya ditegaskan sebagai kawan biasa itu sudah bertukar fasa. Minggu lalu, beberapa keping gambar menunjukkan bapa Syamsul, Datuk Yusof Haslam dan isterinya, Datin Patimah Ismail berpakaian serba indah duduk di atas pelamin bersama Puteri Sarah bertebaran dalam blog-blog hiburan. Gambar-gambar itu dipercayai dirakam semasa majlis merisik Puteri Sarah.

Biarpun sudah terang lagi bersuluh, usaha mendapatkan hitam-putih daripada mulut Syamsul dan Puteri Sarah belum berhasil. Syamsul dan Puteri Sarah masing-masing mengambil pendekatan untuk mengunci mulut. Mujurlah Patimah sudi berkongsi cerita gembira.

Menurut Patimah, dia serta beberapa ahli keluarga yang lain memang berkunjung ke rumah keluarga Puteri Sarah membawa hasrat Syamsul.

Majlis merisik dilakukan di rumah keluarga Puteri Sarah yang terletak di Sri Damansara, Ahad lalu. Kedua-dua pihak keluarga juga sudah mendapat kata putus bahawa majlis perkahwinan Syamsul dan Puteri Sarah akan diadakan menjelang Februari nanti.

"Kami hanya merisik dan bukannya mengadakan majlis pertunangan. Ini permintaan Syamsul sendiri yang tidak mahu mengadakan majlis pertunangan, dia mahu bernikah terus. Jadi majlis merisik itu hanya diadakan secara ringkas dengan acara menyarungkan cincin sahaja.

"Insya-Allah mereka akan disatukan pada Februari nanti namun kami kami berbincang berhubung tarikh yang sesuai," memetik penjelasan Patimah beberapa hari lalu.

Menurut isteri kepada jutawan filem Melayu itu, Syamsul meluahkan hasrat untuk menikahi Puteri Sarah selepas dia kembali daripada mengerjakan umrah baru-baru ini.

"Kebahagiaan buat Syamsul menjadi kegembiraan kepada kami sekeluarga. Selain Syamsul, anak bongsu saya Syafiq juga akan berkahwin pada Jun nanti. Jadi, majlis menyambut menantu mungkin akan diadakan serentak," jelas Patimah yang menyifatkan bakal menantu itu sebagai wanita lemah lembut dan bersikap terbuka dalam banyak perkara.

Syamsul secara nyata belum bersedia untuk menghebohkan soal pernikahannya kepada umum. Syamsul bersikap 'tertutup' sejak insiden filem KL Gangster 2 yang bocor di internet tahun lalu.

Trauma itu barangkali kembali berdarah apabila majlis merisiknya yang sepatutnya hanya diketahui keluarga terdekat itu turut bocor dan pantas diketahui umum menerusi internet. -Kosmo

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Apa kata anda komen sedikit..;) EmoticonEmoticon