Nad Zainal Nafi Tuduhan 'Bersekedudukan'!

Sejak mula memilih untuk menceburi bidang seni pada 2007, Farah Nadia Zainal Abidin, atau lebih dikenali sebagai Nad Zainal sudah menyedari banyak halangan dan dugaan yang perlu dia tempuhi.

Nad Zainal

Namun dia yang ketika itu baru berusia 17 tahun, tidak peduli dengan cabaran yang datang, sebaliknya bertekad untuk membawa bakat yang ada ke lapangan yang benar.

Bahkan dia juga tidak kisah apabila perlu bermula dari bawah - meniarap, merangkak dan bertatih demi cintanya terhadap bidang seni.

Seperti yang di duga, ketika namanya semakin dikenali, Nad dikatakan mula menyombong dan bersikap kurang ajar dengan media.

Namun perkara itu akhirnya selesai selepas Nad memberi penjelasan.

Itu cerita tahun lalu. Tahun ini, Nad sekali lagi teruji apabila keterbukaannya berkongsi kisah cintanya dengan pendatang baru dunia lakonan, Azwan Kombos menimbulkan cerita yang lebih mengaibkan - 'Nad dan Azwan bersekedudukan'!

Akui terpukul dengan tuduhan yang tidak berasas itu, Nad berkata, keterbukaannya sebelum ini memberi satu pengajaran yang cukup berguna buatnya.

"Saya sudah memberi penjelasan sebelum ini dan sekali lagi ingin saya tegaskan, saya dan dia tidak pernah bersekedudukan apatah lagi saya tinggal bersama keluarga.

"Memang benar Azwan ada datang ke rumah saya tetapi ketika ibu bapa saya ada di rumah. Malah ada ketikanya jika saya habis penggambaran lewat malam, dia juga yang akan menghantar saya pulang, tetapi dia terus sahaja pulang selepas itu.

"Saya akui agak kesal dengan pihak yang menyebarkan cerita yang tidak benar mengenai diri saya. Jadi selepas ini, saya tidak mahu lagi bercerita mengenai kehidupan peribadi saya.

"Tiada lagi kisah cinta, kekasih atau apa sahaja selepas ini. Cukuplah dengan apa yang terjadi. Sememangnya fokus utama saya adalah karier dan biarlah cerita yang keluar selepas ini berkisar hal kerjaya saya sahaja.

"Saya akui agak marah pada mulanya. Tapi saya sedar inilah dugaan sebagai anak seni dan saya perlu hadapinya. Namun, tajuk cerita tersebut bagai cuba disensasikan dan akhirnya terlihat seperti saya yang melakukan.

"Jika saya orang biasa pun, dan hanya akan baca tajuk saja, saya sudah memberi satu pandangan yang buruk terhadap artis terbabit," ujarnya.

Sokongan keluarga, peminat

Nad berkata, dia bersyukur kerana di sebalik kontroversi yang berlaku, dia mempunyai keluarga dan peminat yang begitu setia menyokongnya dari belakang.

"Keluarga saya adalah individu yang paling banyak memberi kata-kata perangsang, apatah lagi saya masih baru dan masih mentah dalam industri seni.

"Peminat juga ada yang memahami dan memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada saya," katanya.

Rezeki mencurah

Menurut Nad, semenjak Kampung Girl ditayangkan, perhatian sudah kembali terarah kepadanya dan tawaran yang diterima juga semakin banyak.

Bagaimanapun dek komitmen terhadap pementasan teater Maduku... Kalut, segala tawaran untuk telefilem dan drama bersiri hanya dapat dibuat sebaik tamat pementasan.

Nad berkata, biarpun fokus utamanya adalah bidang lakonan, namun dia sebenarnya menyimpan impian untuk mengacara program pengembaraan atau makanan.

"Jika ada rezeki, saya sudah bersedia untuk mengacara. Walaupun ada sesetengah artis tidak suka mengacara program makanan kerana khuatir gemuk, tapi bagi saya itu adalah sebahagian daripada cabarannya," katanya.

Sumber: Sinar Online

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Apa kata anda komen sedikit..;) EmoticonEmoticon