Shila Dah Ada Kawan Rapat Di Shanghai

Sehelai demi sehelai catatan baharu sedang diselaknya. Apa yang ditemui ternyata sebuah jalan lurus yang berpaksi kekuatan jiwa dan doa. Shila Amzah pernah terhimpit dengan kisah cinta yang berkesudahan duka. Pada hari ini, kembara hidup dan seninya bersambung dengan penuh warna-warni.


Hampir tiga minggu pulang bercuti di tanah air, pada Selasa lalu Shila sekali lagi berlepas ke Shanghai, China untuk menyambung komitmen kariernya yang sedang berkembang di sana. Dalam kesibukan memenuhi rakaman program televisyen, jemputan media mahupun berbuka puasa, Shila juga sempat melancarkan single terbaharunya, Masih Aku Cinta.

Jika ada yang masih ingat, lagu berkenaan merupakan antara lagu yang ditulis oleh Shila semasa dia berada dalam tempoh putus cinta bersama Sharnaaz Ahmad pada Februari lalu.

"Sengaja saya masukkan lagu berkenaan dalam album saya yang akan dilancarkan selepas hari raya nanti. Saya cuma mahu berkongsi perasaan saya ketika itu. Sekarang semua itu tinggal kenangan," katanya semasa ditemui pada pelancaran program hari raya TV9, di Bukit Kiara, pada Selasa lalu.

Sibuk mengembangkan kerjayanya di peringkat antarabangsa, Shila bagaimanapun tidak meminggirkan industri muzik di Malaysia. Baru-baru ini, Shila turut mengadakan sesi pradengar album yang kali pertama diterbitkan di bawah labelnya Shila Amzah Entertainment Bhd. Semua lagu yang terkandung dalam album itu ditulis sendiri. Ia akan dilancarkan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

"InsyaAllah saya akan pulang semula dua hari sebelum raya. Dalam tempoh cuti raya juga, saya akan melancarkan album yang sebenarnya telah disempurna itu," jelas Shila yang harus kembali ke Shanghai untuk menyiapkan album Mandarin di sana.

Menurut Shila: "Di sana juga, ada kelas-kelas yang perlu saya hadiri. Saya juga sudah menyelesaikan proses merakamkan sebuah single berjudul A Moment Like This. Lagu itu akan dijadikan lagu tema Chinese Idol dan saya juga akan membuat persembahan di pentas Chinese Idol pada 25 Ogos nanti."

Bercerita tentang kehidupan lebih matang yang sedang dilaluinya, Shila berkata, dia kini semakin diyakini oleh kedua-dua ibu bapanya untuk hidup berdikari. Sepanjang berada di Shanghai, anak sulung ND Lala itu tidak lagi ditemani oleh orang tuanya.

"Sebenarnya, sejak dua bulan lalu, saya hanya tinggal bersama-sama pembantu peribadi saya di Shanghai. Kali ini, mama dan papa menemani saya untuk dua tiga hari sahaja, selesai urusan dan perbincangan bersama-sama syarikat rakaman di sana, mereka akan pulang.

"Sekarang papa dan mama sedang main tarik tali dengan saya. Mereka tidak pegang atau tarik kuat-kuat, tapi melepas sikit-sikit, dan tarik pun perlahan-lahan. Sekarang saya lebih berdikari dan boleh membuat keputusan sendiri. Jadi apa-apa hal, semuanya akan kena di atas batang hidung sendiri," beritahu Shila yang kini sudah mempunyai seorang kawan baik di Shanghai.

Cerita Shila juga, kawan yang selalu menemani dan membantunya menyesuaikan diri di kota metropolitan itu merupakan penerbit albumnya sendiri.

"Kebetulan dia juga tinggal di kejiranan yang sama dengan saya. Jadi, kami selalu lepak dan menghabiskan waktu santai. Tetapi, jangan orang salah faham, kawan saya itu ialah perempuan," jelas Shila yang sebenarnya masih serik untuk memikirkan soal cinta.

-Kosmo

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Apa kata anda komen sedikit..;) EmoticonEmoticon