Showing posts with label Tular. Show all posts
Showing posts with label Tular. Show all posts

Bangunan Ada Lambang Salib Besar Di Pulau Pinang, Mufti Gesa Ubah Kedudukan Lampu

Keresahan umat Islam terutama warganet ekoran kewujudan sebuah bangunan kediaman di Jelutong di sini yang memparkan lambang salib mendapat perhatian daripada Mufti negeri, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor.

Wan Salim secara berhemah meminta pihak berkuasa negeri ini agar segera mengarahkan pihak pemaju projek berkenaan untuk mengubah kedudukan lampu-lampu di bangunan itu supaya tidak kelihatan seperti lambang salib.

Selain itu, Wan Salim juga mahu pihak berkuasa menyelidik terlebih dahulu adakah kejadian itu sengaja dilakukan atau hanya secara kebetulan sahaja.

"Saya dengan penuh harapan meminta kerajaan negeri menerusi Pejabat Timbalan Ketua Menteri Satu dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan seberapa segera perlu mengarahkan pihak pemaju mengubah kedudukan lampu-lampu di bangunan tersebut supaya tidak kelihatan seperti lambang salib yang tidak disenangi pihak tertentu.

"Perlembagaan Persekutuan juga melarang usaha mempromosi atau menyebarkan agama lain dalam kalangan masyarakat yang beragama Islam," katanya menerusi akaun Facebook Jabatan Mufti Pulau Pinang.

Sebelum ini gambar bangunan tersebut yang memaparkan lambang salib pada waktu malam tular di laman sosial sehingga menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan umat Islam.

Menurut laman web pemaju berkenaan, bangunan setinggi 44 tingkat itu mengandungi kira-kira 378 unit rumah kediaman seluas lebih 1,000 kaki persegi siap dibina pada 2016 dan telah dibuka untuk jualan. -utusan

Harga Menu KFC Naik Ekoran Kos Pengeluaran

Peningkatan harga jualan bagi set menu tertentu di rangkaian restoran makanan segera KFC berpunca daripada kenaikan kos pengeluaran dalam perniagaan francais popular itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, penjelasan mengenai perkara itu diberikan oleh syarikat operator rangkaian makanan segera, QSR Brands (M) Holdings Berhad.

Jelasnya, QSR merupakan pemegang francais jenama antarabangsa dan mereka terikat dengan syarat yang dimeterai.

“Sebagai contoh, bahan-bahan yang digunakan juga tertakluk kepada perjanjian francais dan mereka disyaratkan untuk membeli daripada pembekal yang telah ditetapkan.

“Perjanjian francais itu kononnya untuk menjaga keseragaman rasa dengan penggunaan rempah ratus yang digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan anugerah di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2018 KPDNHEP di Perbadanan Putrajaya.

Dalam majlis itu, seramai 306 pegawai KPDNHEP terpilih untuk menerima penghargaan atas perkhidmatan cemerlang mereka.

Peningkatan itu berlaku ekoran pelarasan margin ke atas harga produk ditawarkan, sekali gus membolehkan mereka terus menawarkan kualiti terbaik kepada pengguna.

Mengulas lanjut, pihaknya telah menghantar pegawai untuk menjalankan siasatan dan notis mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 telah dikeluarkan terhadap QSR.

Ujarnya, tindakan itu dijalankan selepas masyarakat mengeluh di media sosial dan akhbar apabila berlaku peningkatan harga makanan tersebut.

“Saya juga akan mengadakan pertemuan dengan McDonald’s petang ini untuk membincangkan mengenai perkara sama,” katanya. -kosmo

Kadir Jasin Tegur Waytha Moorthy Dan Dr Maszlee Demi Perpaduan Kaum Di Malaysia

Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri Datuk A. Kadir Jasin menasihatkan P. Waytha Moorthy dan Dr Maszlee Malik agar mendengar nasihat Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Wartawan veteran itu mendakwa tindak-tanduk Waytha Moorthy dalam peristiwa keganasan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ25, Subang Jaya beberapa hari lalu tidak membantu mengukuhkan perpaduan negara dan integrasi nasional.

"Perdana Menteri sudah menasihati beliau. Tapi Perdana Menteri kita ini baik hati dan kalau beliau marah pun ada orang tak sedar.

"Jadi Waytha Moorthy yang belum lama kenal beliau janganlah “gung-ho” dan selesa sangat dengan kedudukan beliau," katanya merujuk peristiwa keganasan di Kuil Sri Maha Mariamman, Putra Heights di Subang Jaya yang tercetus awal pagi Isnin.

Anggota Majlis Tertinggi Bersatu itu juga menasihatkan Waytha Moorthy agar tidak memalukan Yang di-Pertuan Agong dan perdana menteri.

"Ingatlah, anda bukan dipilih oleh rakyat jelata. Anda Senator lantikan Yang di-Pertuan Agong dan diangkat menjadi menteri oleh Dr Mahathir.

"Tolonglah jangan malukan Raja kita dan Perdana Menteri kita," katanya lagi.

Selain Waytha Moorthy, Kadir turut menasihatkan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik agar mengembalikan sekolah kebangsaan kepada tujuan asalnya, iaitu sebagai sekolah perpaduan untuk semua bangsa dan agama.

Menurut Kadir, menteri pendidikan itu baru saja 'dikuliahkan' oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya setujulah dengan Perdana Menteri bahawa kita sudah ada banyak sekolah agama – sekolah agama kerajaan, sekolah agama negeri, sekolah agama swasta, sekolah pondok dan tahfiz – jadi tak perlulah nak “sekolahagamakan” sekolah kebangsaan," tegur Kadir.

Beliau juga mengingatkan Maszlee bahawa banyak ibu bapa bukan Melayu tidak lagi menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan kerana sekolah kebangsaan sudah jadi macam sekolah agama.

"Takkan menteri yang cerdik macam Maszlee tak tahu bahawa banyak ibu bapa bukan Melayu tidak lagi menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan kerana sekolah kebangsaan sudah jadi macam sekolah agama.

"Di pihak lain pula makin banyak ibu bapa Melayu menghantar anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan Cina kerana mahu anak-anak mereka lebih berjaya," ujarnya.

Di akhir tulisannya, Kadir turut mengingatkan menteri-menteri lain agar tidak menganggap mereka sudah berjaya hanya kerana beliau menegur dua menteri sahaja.

"Saya sebut dua nama saja. Ini tidak bermakna menteri-menteri lain sudah berjaya. Cuma kali ini bukan giliran anda.

"Anggaplah saya guru pelawat tua yang duduk di belakang kelas memerhatikan tindak-tanduk dan kelakuan mereka," tulis beliau. -astroawani

'Terima Kasih Malaysia' - Ucap mangsa kemalangan mesin pengisar sampah di Korea Selatan

"Assalamualaikum semua. InsyaAllah, saya akan balik Malaysia secepat mungkin.”

Begitu kata Daniel Arif Ahmad Fuad, 21, kepada rakyat Malaysia melalui satu rakaman video selepas mengetahui tragedi yang menimpanya mendapat perhatian meluas.

Rakaman itu dibuat oleh bapanya, Ahmad Fuad Yun, 52, ketika tiba di hospital Hospital Suwon Ajudae pada Jumaat.

Daniel Arif yang mesra disapa Danny itu kini sudah sedar selepas dua hari dalam keadaan koma akibat kemalangan di tempat kerja.

Rakan baiknya yang hanya ingin dikenali sebagai Shahir, 28, berkata, Daniel Arif kini berada di wad trauma dan pelawat dibenarkan menemani mangsa pada waktu lawatan sahaja.

Kata Shahir, jelas terpancar kegembiraan di wajah Daniel Arif selepas melihat kehadiran kedua ibu bapanya di hospital tersebut.

“Dia sangat teruja dan bertanya, "macam mana ayah datang sini, tidur dekat mana?" seolah-olah dia sakit biasa-biasa sahaja.

“Kemudian, ayahnya yang terlalu gembira dapat melihat Danny terus merakam video itu semalam (Jumaat),” kata Shahir pada Sabtu.

Sebelum ini, pada Khamis akhbar melaporkan tentang seorang rakyat Malaysia nyaris maut selepas ditimpa kemalangan di tempat kerja dalam satu insiden yang berlaku di sebuah kilang kitar semula di Korea Selatan.

Dalam kejadian yang berlaku pada petang Isnin itu, Daniel Arif kehilangan hampir separuh anggota tubuhnya selepas 'ditelan' sebuah mesin pengisar sampah di kilang yang terletak di Samseong, Seoul.

Menurut bapa mangsa, anak sulungnya yang baru dua bulan bekerja di negara tersebut berada dalam keadaan tidak stabil dan terpaksa diberikan ubat tidur oleh pihak hospital yang merawat anaknya.

Selepas sedar daripada koma, Daniel Arif meluahkan hajat kepada ibu angkatnya yang merupakan warga Korea untuk menikmati makanan kegemarannya, iaitu piza.

“Ibu angkat Danny yang dipanggil ‘Omma’ merupakan orang pertama yang dia jumpa selepas sedar.

“Omma memberitahu saya yang Danny bertanya di mana semua orang dan meyakinkan wanita itu bahawa dia seorang yang kuat.

“Omma meminta Danny agar banyak bersabar dan berjanji akan membawa makanan kegemarannya apabila dia sudah sembuh nanti,” ujar Shahir.

Menurut bekas rakan sekerja Daniel Arif itu, pemuda yang sudah dianggap seperti adik lelakinya itu bukan sahaja terpaksa menjalani pembedahan buat kali kedua, malahan pembedahan ketiga mungkin terpaksa dilakukan pada minggu depan sekiranya jangkitan kuman masih merebak. -mstar

China Jatuhkan Hukuman Mati Kerana Tunai Haji

XINJIANG - CHINA. Pihak berkuasa rejim komunis China di barat laut Wilayah Autonomi Xinjiang Uyghur (XUAR) menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang ahli perniagaan yang juga dermawan etnik minoriti Uyghur terkenal, Abdughapar Abdurusul, kerana mengerjakan haji di Arab Saudi.

Menurut abang mangsa, Abdusattar Abdurusul, Abdughapar yang berasal dari daerah Bakyol di Ili Kazakh ditangkap pada Julai atau Ogos lalu.

“Yang terbaru saya dengar, adik saya dijatuhi hukuman mati dan dia kini sedang menunggu pelaksanaannya.

Alasannya ialah dia pergi ke Arab Saudi untuk melaksanakan haji secara persendirian, tanpa menggunakan perkhidmatan kerajaan,” katanya.

Katanya, Abdughapar tidak dibenar melantik peguam ketika perbicaraan, sekali gus menunjukkan bahawa dia telah dihukum secara haram.

Walaupun semua hukuman mati perlu dikaji semula oleh Mahkamah Agung China di Beijing, tetapi dalam kes Abdughapar, tidak dapat dipastikan sama ada kes itu telah disiasat dengan adil.

Beliau berkata, Abdughapar bapa kepada empat anak memiliki beberapa rangkaian kedai dan perniagaan, dan telah menggunakan wang sendiri untuk membina sebuah masjid.

Selain itu, katanya, Abdughapar juga telah menjual sebuah rumah lama milik keluarga sekitar 1 juta yuan (AS$144,000) pada April atau Mei, sebelum ditangkap, sementara semua aset keluarganya berjumlah kira-kira 100 juta yuan (US$14.4 juta) dirampas.

“Abdughapar seorang dermawan yang suka membantu masyarakat (tetapi) sekarang kerajaan telah mengambil segala-galanya dan memusnahkan sepenuhnya kehidupan keluarga itu,” kata Abdusattar.

Sebelum ini, anak lelaki sulung Abdughapar, Awzer, ditahan pada 2017 selepas pulang dari belajar di Turki, dan isterinya, Merhaba Hajim ditahan pada April tahun ini, katanya.

Abdusattar berkata, kakaknya Sayipjamal juga sudah hilang untuk tempoh masa yang lama dan dianggap telah ditahan, sementara beberapa kawannya dijatuhi hukuman penjara lebih daripada 18 tahun.

Kakitangan Biro Keselamatan Awam Wilayah Ili Kazakh di bandar Ghulja, enggan menjawab pertanyaan serta menutup telefon apabila dihubungi Radio Free Asia (RFA), mengenai kes Abdughapar.

Menurut agensi itu, seorang rakan lama yang enggan mendedahkan identiti memberitahu dia juga pernah mendengar desas-desus hukuman mati ke atas rakannya itu.

“Seorang kawan saya memanggil saya, mengatakan bahawa Abdughapar telah dijatuhi hukuman mati. Saya juga mendengar bahawa isterinya telah meninggal dalam penjara,” katanya. - Ismaweb