Showing posts with label Kesihatan. Show all posts
Showing posts with label Kesihatan. Show all posts

14 Peratus Penduduk Pahang Hidap Diabetes

Kira-kira 14.8 peratus daripada penduduk Pahang yang berusia 18 tahun ke atas adalah penghidap diabetes.

Timbalan Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed berkata apa yang membimbangkan ialah lebih separuh daripada mereka tidak mengetahui bahawa mereka menghidap penyakit itu.

"Kebanyakan mereka hanya mengetahui status diabetes apabila mendapatkan pemeriksaan kesihatan yang dibuat saringan di luar atau menerusi program Komuniti Sihat Pembina Negara (Kospen).

"...itu pun tindakan untuk menjalani saringan dilakukan selepas merasakan ada tanda gejala diabetis," katanya pada Sambutan Hari Diabetes Sedunia Peringkat Pahang 2018 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah.

Mohamed Sapian juga memuji peranan Kospen dilihat aktif membantu masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat dan penjagaan kesihatan kepada komuniti.

Katanya, sehingga kini terdapat 277 lokaliti Kospen di seluruh Pahang melibatkan penduduk di kawasan taman perumahan dan kampung tradisional di negeri ini.

"Anggota Kospen terdiri daripada komuniti setempat yang diberikan latihan mengendalikan pemeriksaan saringan kesihatan komuniti mereka bagi penyakit diabetes, darah tinggi, obesiti dan menangani stres.

"Kampung atau kawasan perumahan yang terlibat dengan Kospen juga mempunyai kawasan berjalan kaki 10,000 langkah yang ditempatkan dengan papan tanda kerana ia sukan yang mudah dilakukan," katanya. --BERNAMA

Ketahui Bahaya Kesan Seks Pada Usia Remaja

Tidak dinafikan berkahwin pada usia muda dapat mengelak daripada perkara-perkara maksiat.

Namun, ramai daripada masyarakat kita yang terlepas pandang soal usia yang sesuai untuk mendirikan rumahtangga mengikut amalan perubatan.

Ini kerana hubungan kelamin pada usia awal menjadi antara faktor wanita diserang kanser servik.

Menurut Pegawai Perubatan Kesihatan Wanita dan Kehamilan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Muhammad Izzat Abdul Razak, sistem pertahanan badan atau sistem imuniti pada pangkal rahim remaja belasan tahun belum lagi matang serta tidak mampu melawan jangkitan.

Jika terdapat jangkitan kuman khususnya jangkitan Human Papillomavirus (HPV) pada lokasi transformation zone (pangkal rahim) akan menyebabkan sistem badan seseorang remaja tidak berupaya menangkis serangan jangkitan.

Jika hal ini berlaku secara berterusan di mana virus itu menyerang individu terbabit, ia akan menyebabkan sel-sel yang normal pada pangkal rahim berubah menjadi sel tidak normal, sekaligus akan menjurus kepada pembentukan kanser servik," katanya.

Bagaimanapun Dr Muhammad Izzat berkata, kanser servik boleh dicegah jika seseorang wanita itu menjalani kehidupan sihat dan tidak terjebak dengan aktiviti sosial seperti pengambilan minuman keras, merokok atau memulakan aktiviti seksual pada usia terlalu muda.

Selain itu katanya, penjagaan kebersihan alat sulit juga boleh mencegah jangkitan kuman yang akhirnya boleh terdedah kepada masalah kanser servik.

Justeru, golongan wanita digalakkan untuk menjalani ujian pap smear secara berkala bagi membantu mengesan tanda-tanda awal kanser servik!

Jumpa Pakar Psikiatri Bukan Bermakna Gila

Berjumpa pakar psikiatri bukan sesuatu yang memalukan. Itu nasihat bekas pesakit yang mahu masyarakat mengubah stigma terhadap penjagaan kesihatan mental.

Seperti mana penyakit fizikal, masalah kesihatan mental perlu dikesan awal, seterusnya diberi perhatian dan rawatan sewajarnya.

Nur Zaimah (bukan nama sebenar) baru berusia 21 tahun ketika didiagnosis mengalami masalah mental.

Selain faktor keturunan, tekanan yang dihadapi semasa belajar juga menjadi antara penyebab kepada perubahan personaliti dan pemikirannya ketika itu.

"Saya disahkan mengalami masalah mental pada tahun 2009, ketika sedang menuntut di sebuah universiti swasta.

"Apa yang berlaku ketika itu, daripada segi perwatakan saya boleh rasa diri saya berbeza daripada sebelumnya.

"Saya juga bermasalah untuk tidur, malah pernah tidak tidur selama berhari-hari.

"Sampai ke satu tahap, saya ada terfikir untuk bunuh diri. Ini pemikiran biasa bagi mereka yang mengalami masalah mental.

"Dari situ saya sedar, saya perlu dapatkan bantuan," katanya yang kini berkhidmat sebagai sukarelawan Mental Illness Awareness and Support Association (MIASA).

Enam tahun lamanya dia perlu mengambil ubat-ubatan yang membantu mengawal emosi, sehingga kini Nur Zaimah menyifatkan dirinya sebagai pesakit yang masih dalam proses penyembuhan.

"Stigma masyarakat, jumpa pakar psikiatri itu gila. Ia tanggapan yang salah tetapi dalam masa yang sama kita tidak perlu malu kerana apa yang kita lakukan adalah berusaha untuk kembali sihat dan menjalankan tanggungjawab kita.

"Abaikan kata-kata orang," tambahnya yang mengakui sudah semakin tenang menjalani kehidupan.

Hidup bebas tekanan itu mustahil, namun wanita berusia 30 tahun ini ada nasihat untuk menangani tekanan dengan baik.

"Kalau kita asyik fikir apa yang orang cakap, memang kita akan sentiasa tertekan. Apa yang penting, kita tahu apa siapa kita dan peranan kita.

"Fokus kepada kehidupan bertuhan. Itulah sebenarnya kunci kepada kesihatan, bukan sahaja mental, tetapi fizikal juga," ujarnya. -astroawani

14 Produk Kosmetik Dikesan Ada Racun Berjadual

Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai supaya mengelak daripada membeli dan menggunakan 14 produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual seperti merkuri, hydroquinone, tretinoin dan diphenhydramine yang tidak dibenarkan dalam produk kosmetik.

Antara produk tersebut ialah Diamond Gold Skin Care (Day/Night Cream), Alora Night Glowing Cream, Karisma Nightcream Kunyit, Seputih Melati Night Cream Whitening, Majaja Serum Channtiq, SYMA Magical Serum, Khumaera Moistskin Cleanser dan Bao Shu Tang Snow Lotus Cream.

"Notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM berikutan pengesanan bahan racun berjadual dalam produk berkenaan," kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan, Selasa (9/10/2018).

Dr Noor Hisham berkata produk yang mengandungi hydroquinone, tretinoin dan diphenhydramine merupakan produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

“Produk kosmetik yang dicampur palsu dengan hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, malah kulit menjadi hipersensitif.

“Ia juga boleh menghalang proses pigmentasi atau depigmentasi yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar ultraungu berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit," kata beliau.

Beliau berkata produk kosmetik yang dicampur palsu dengan tretinoin biasanya dipromosikan untuk tujuan merawat masalah jerawat dan kedutan.

Penggunaan tanpa pengawasan di bahagian kulit yang disapu akan menyebabkan kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

Beberapa produk kosmetik dicampur palsu dengan diphenhydramine bertujuan untuk memberikan kelegaan sementara bagi kegatalan dan kesakitan akibat gigitan serangga, selaran matahari yang ringan dan kerengsaan kulit.

Penggunaan diphenhydramine tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh mengakibatkan bahagian kulit yang disapu menjadi lebih sensitif kepada cahaya matahari dan boleh menyebabkan kesan alahan teruk.

Manakala bagi produk kosmetik yang dicampur palsu dengan merkuri pula, beliau berkata ia boleh memudaratkan kesihatan kerana merkuri yang terkandung dalam produk kosmetik boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

Ia juga boleh menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan.

Selain itu, pendedahan kepada merkuri boleh juga dialami oleh orang sekeliling terutamanya kanak-kanak apabila produk kosmetik yang mengandungi merkuri yang disapu pada kulit meruap dan dihidu.

Penggunaan produk yang mengandungi merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.

Dr Noor Hisham berkata penjual dan pengedar produk-produk kosmetik tersebut diberi amaran supaya menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 boleh didenda maksimum RM25,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya.

Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Pengguna dan orang ramai adalah dinasihatkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA http://npra.moh.gov.my.

Sebarang pertanyaan berkaitan produk kosmetik boleh diemel kepada kosmetik@npra.gov.my. -bernama

HFMD Tiada Vaksin, Perlu Kawal Penularan - Pegawai Kesihatan

Tiada vaksin untuk mengubati penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), namun ibu bapa dan penjaga boleh mengawal risiko penularan virus berkenaan dengan mengambil langkah pencegahan termasuk sentiasa mengoptimumkan tahap kebersihan anak-anak.

Pegawai Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu Dr. Jiloris @ Julian Frederick Dony berkata ibu bapa dan penjaga perlu peka terhadap kebersihan dengan memastikan anak-anak mereka bersin dan batuk dengan cara betul supaya lelehan atau cecair keluar daripada tubuh badan tidak menjangkiti individu lain.

"Ibu bapa dan penjaga perlu melaksanakan 'gatekeeping' kepada anak-anak bermula dari rumah. Ibu bapa juga perlu memastikan anak-anak membasuh tangan mengikut teknik yang sempurna supaya tangan sentiasa bersih terutama ketika makan.

"HFMD ini boleh menjangkiti orang dewasa, namun, kanak-kanak berumur antara 10 tahun ke bawah berisiko tinggi dijangkiti virus ini kerana mereka belum mempunyai sistem imuniti yang kuat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Pendidikan Kesihatan Kanak-Kanak, di sini pada Rabu.

Jiloris turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya mengasingkan anak-anak jika mengesan terdapat simptom virus itu pada mereka sekali gus memaklumkan perkara tersebut kepada pejabat kesihatan berhampiran untuk tindakan kawalan selanjutnya.

Pengendali pusat penjagaan kanak-kanak juga diingatkan agar meningkatkan tahap kebersihan kawasan premis dengan lebih kerap membersihkan kawasan sekitar serta alat dan barangan permainan kanak-kanak bagi mengelak risiko penularan virus tersebut, katanya.

Pada Selasa, Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Christina Rundi berkata jumlah kes HFMD di negeri ini dilaporkan meningkat sebanyak enam kes kepada 2,611 daripada 2,605 kes dicatatkan pada 27 Julai lepas.

Antara daerah mencatat kes tertinggi ialah Kota Kinabalu (564); diikuti Beaufort (393); Penampang (258); dan Sandakan (221); selain sebanyak 24 sekolah dan Taska di seluruh Sabah masih ditutup berikutan penemuan kes HFMD di sekolah-sekolah berkenaan. -BERNAMA