Showing posts with label Artis luar negara. Show all posts
Showing posts with label Artis luar negara. Show all posts

A Star Is Born Gagal Ungguli Golden Globe

DIjulang harapan melangit untuk mendominasi acara berprestij, Golden Globe Awards ke-76, karyawan filem sensasi A Star Is Born sekadar mampu tersenyum nipis apabila hanya mampu pulang dengan sebuah trofi.

Dicalonkan dalam beberapa kategori utama iaitu Filem Terbaik - Drama, Pengarah Filem Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik dalam Filem – Drama (Lady Gaga), dan Pelakon Lelaki Terbaik dalam Filem - Drama (Bradley Cooper), Gaga bagaimanapun mencuri tumpuan apabila menang Lagu Original Terbaik menerusi lagu Shallow.

Namun, Gaga kalah dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik kepada aktres terbilang, Glenn Close hasil lakonannya dalam filem The Wife.

“Saya sangat gembira untuk kemenangan Glenn Close. Dia sememangnya seorang legenda dan layak menang,” tulis Gaga melalui laman Twitter miliknya.

Mencipta kejutan, filem biografi kumpulan rock British, Queen berjudul Bohemian Rhapsody diangkat sebagai filem Filem Terbaik - Drama.

Kemenangan tersebut sekali gus mengenepikan saingan naskhah hebat lain termasuk Black Panther, BlacKkKlansman, If Beale Street Could Talk dan A Star Is Born.

Bukan itu sahaja, pelakon utama filem berkenaan yang menterjemah peranan sebagai vokalis legenda Queen, Freddie Mercury iaitu Rami Malek membawa pulang trofi Pelakon Lelaki Terbaik dalam Filem - Drama.

“Terima kasih kepada Freddie Mercury kerana memberikan kebahagiaan ini kepada saya untuk dikenang sepanjang hayat. Saya sayang kamu, lelaki kacak. Kemenangan ini untuk dan kerana kamu,” ujar Malek ringkas ketika memberi ucapan saat menerima anugerah.

Ketika bertemu media usai menerima trofi berkenaan, Malek dengan rendah diri meluahkan, dia hanya sebahagian kecil daripada kisah Queen yang sudah terbuku dalam lipatan sejarah.

“Saya hanyalah bahagian kecil untuk menceritakan kisah ini. Bagaimanapun, ditemani Bryan May dan Roger Taylor pada malam ini membuatkan saya berasa sedikit besar. Ini adalah segala-galanya buat saya.

“Terima Kasih Freddie Mercury dan trofi ini saya akan ‘melekat’ dalam genggaman saya untuk tempoh yang lama demi melihat masa depan lebih cerah,” ujar Malek yang sebelum ini cukup dikenali menerusi siri Netflix, Mr. Robot.

Tumpuan

Selain Bohemian Rhapsody yang pulang bergaya menerusi dua anugerah, filem drama komedi, Green Book menang tiga trofi menerusi anugerah Filem Komedi atau Muzikal Terbaik, Pelakon Filem Pembantu Lelaki Terbaik (Mahershala Ali) dan Lakon Layar Terbaik.

Sementara itu, filem Roma pulang dengan dua trofi; Filem Bahasa Asing Terbaik dan Pengarah Filem Terbaik (Alfonso Cuarón). Drama televisyen, The Assassination of Gianni Versace: American Crime Story pula cemerlang dengan dua kemenangan iaitu Drama Siri Televisyen Terbaik dan Pelakon Lelaki Drama Siri Televisyen Terbaik (Darren Chris).

Antara momen yang paling mencuri tumpuan semestinya sewaktu Lady Gaga yang disebut-sebut bakal menang trofi Pelakon Filem Wanita Terbaik terpaksa berputih mata apabila kemenangan berpihak kepada pelakon veteran, Glenn Close.

Cemerlang membawa watak Joan Castleman dalam filem The Wife, Close ternyata terkejut saat namanya diumumkan sebagai pemenang.

Ketika berjalan menuju ke pentas utama untuk menerima trofi, wanita itu sempat berhenti untuk memeluk Gaga dan seperti membisikkan sesuatu terhadap pelantun lagu Bad Romance itu.

“Saya rasa sudah melalui banyak perkara yang memberi pengalaman. Sebagai wanita, kita mempunyai anak-anak, suami jika kita cukup bertuah dan orang penting lain.

“Kita juga perlu mencari kepuasan peribadi. Kita harus mengikut haluan mimpi-mimpi kita,” ujar Close ketika memberi ucapan.

Bagi kategori lelaki pula, seperti diduga kemenangan berpihak kepada pelakon hebat, Christian Bale menerusi lakonan dan ‘transformasi fizikal’ mengagumkannya dalam filem Vice. -kosmo

Band Seventeen Dibadai Tsunami Banten Ketika Konsert

Pemain bass kumpulan pop rock negara jiran, Seventeen, M Awal Purbani atau Bani, terkorban dalam bencana tsunami yang melanda Banten, Indonesia pada malam Sabtu 22 Disember 2018, lapor media di Indonesia.

Vokalis Seventeen, Ifan berkata selain Bani, pengurus jelajah konsert mereka yang bernama Oki Wijaya juga meninggal dunia.

Difahamkan Seventeen sedang membuat persembahan di Tanjung Lesung Beach Resort, Banten, ketika gelombang tsunami membadai lokasi tersebut sekitar jam 9.33 malam, pada waktu Indonesia Barat.

"Kami kehilangan bassis kami, Bani, sama road manager kami Oki."

"Minta ikhlas doanya juga buat Bani sama Mas Oki. Terima kasih, assalamualaikum," katanya pada hantaran di Instragram.

Seventeen telah menghasilkan beberapa album, antaranya iaitu Bintang Terpilih (1999), Sweet Seventeen (2005), Lelaki Hebat (2008), Dunia Yang Indah (2011) & Sang Juara (2013). -mkini

Meghan Didakwa Pakai Cincin 'Evil Eye' Untuk Lindungi Diri Dari Pandangan Jahat

DUCHESS of Sussex dilihat memiliki cincin baharu yang melindunginya daripada pandangan jahat.

Cincin emas berbentuk 'evil eye' bernilai £ 250 (RM1,319) itu direka mengikut Hamsa, iaitu lambang 'tangan Tuhan' purba yang kelihatan seperti bentuk tangan terbuka dengan mata di telapak tangan.

Meghan, 37, menghadiri majlis makan tengahari Krismas Istana pada Selasa sewaktu namanya terpalit dengan kontroversi didakwa bermasam muka dengan Duchess of Cambridge, berbalah dengan kakitangannya kerana disifatkan terlalu cerewet dan hubungan dingin dengan bapanya Thomas yang mendakwa dia semakin menjauhkan diri.

Puteri itu memakai cincin baharu tersebut pada minggu ini ketika melawat rumah jagaan di West London.

Ia adalah barangan kemas Kismet oleh Milka dan dikatakan membawa kebahagiaan, tuah, kesihatan dan nasib baik.

Seorang peminat kerabat diraja berkata: "Ini adalah Hamsa, perlindungan daripada pandangan jahat."

Sementara itu, seorang sumber istana menambah: "Meghan bersifat rohani. Dia percaya dia perlu mengambil masa untuk melaraskannya dengan perasaan. Ia adalah masa yang sukar."

"Mungkin dia percaya cincin itu akan membantunya menenangkan diri."

'Evil eye' adalah sumpahan atau legenda yang dipercayai dihantar oleh silauan cahaya jahat yang biasanya tidak disedari oleh seseorang.

Kebanyakan budaya percaya bahawa pandangan jahat akan menyebabkan kemalangan atau kecederaan kepada seseorang.

Oleh itu, penggunaan azimat dipercayai adalah untuk melindungi mereka. - Mirror UK

Gambar Pertama Selena Gomez Selepas Jalani Rawatan Kemurungan

PENYANYI Selena Gomez dilihat dalam keadaan gembira selepas sudah pulih daripada menerima rawatan di pusat psikiatri baru-baru ini.

Menurut laporan E News!, peminat teruja melihat foto Selena tersenyum bersama rakan-rakannya ketika meluncur dan bermain salji di Big Bear, Calif.

Foto tersebut merupakan kali pertama Selena muncul selepas menjalani rawatan kemurungan sejak September lalu.

"Dia kini dalam keadaan yang lebih baik. Selena rasa lebih segar dan tenang sahaja," kata sumber terdekat.

Penyanyi lagu Back To You ini dimasukkan ke pusat psikiatri disebabkan masalah kemurungan selepas mendapat berita bekas kekasihnya, Justin Bieber sudah berkahwin dengan model terkenal. -mstar

Ronaldo Bakal Jual Rumah Agam Di Manchester

CRISTIANO RONALDO telah mengiklankan rumah agam miliknya di Manchester untuk dijual.

Iklan itu mampu membunuh harapan peminatnya untuk melihat dia kembali ke Old Trafford.

Penyerang Juventus tersebut dipercayai telah membeli rumah mewah berkenaan di Cheshire pada 2006 ketika berada di bawah pimpinan Sir Alex Ferguson.

Rumah yang kini berada di pasaran pada harga £ 3.25 juta (RM17.19 juta) itu dilengkapi lima bilik tidur, kolam renang besar, bilik mandi air panas dan wap, gimnasium, pawagam dan bilik permainan.

Sekiranya Ronaldo berjaya menjual rumahnya, dia mungkin akan mengalami kerugian kerana harga hartanah itu bernilai £ 3.85 juta (RM20.36 juta) ketika dia membelinya lebih sedekad lalu.

Ini bukan kali pertama bintang berusia 33 tahun tersebut cuba menjualnya.

Penyerang itu dipercayai telah mengiklankan rumah mewah berkenaan pada 2009 ketika ingin meninggalkan Old Trafford untuk menyertai Real Madrid.

Bagaimanapun, rumah agam tersebut dibiarkan tanpa didiami sesiapa.

Luke Shaw menyewa kediaman itu daripada Ronaldo selepas dia menyertai United pada 2014.

Menurut laporan Sun, pemain bek kiri terbabit membayar sewa £7,000 (RM37,000) sebulan kepada Ronaldo.

Iklan hartanah itu dijumpai di kawasan elit Alderley Edge iaitu lokasi di mana kebanyakan pemain bola sepak tinggal.

Kini, Ronaldo memiliki rumah di Itali selepas berpindah ke kelab Juventus. - Daily Mail

Mayat Artis Terkenal Hong Kong Ditemui Hampir Reput Di Pangsapuri

BEKAS artis terkenal TVB, Yammie Lam Kit-ying ditemui maut di pangsapurinya di Stanley, Hong Kong.

Memetik laporan South China Morning Post, seorang pegawai kanan polis mengesahkan mayat wanita yang ditemui tanpa sebarang kesan luka itu sebagai Lam, berusia 55 tahun.

Katanya, mayat mula mereput itu ditemui di tandas pangsapuri berkenaan terletak di Leung Ma House di Ma Hang Estate.

Cukup terkenal kerana kecantikannya, nama Lam mula masyhur lewat 1980-an selepas muncul dalam siri TV seperti Looking Back in Anger dan The Greed Man yang turut dibintangi Adam Cheng Siu-chow dan Sean Lau Ching-wan.

Sementara itu, seorang kawan Lam, bernama Lui, yang melawatnya pada malam Jumaat minggu lalu dan terhidu bau busuk dari flat dan menelefon polis pada jam 12.28 pagi apbila panggilannya tidak dijawab.

“Kami turut menemui rekod panggilan telefon Lam pada hari sama, menunjukkan beliau mungkin mati sejak dua hari lalu (selepas ditemui),” kata sumber polis.

Polis kini cuba menghubungi keluarga Lam.

Melalui siasatan awal mendapati, tiada sebab yang mencurigakan di sebalik kematiannya.

Populariti Lam merudum selepas terbabit dalam kemalangan pada 1998 yang mengakibatkan kecederaan serius pada tangan dan lehernya.

Beliau turut dilaporkan mengalami masalah mental dan diisytihar muflis pada 2006 sehingga terpaksa hidup dengan mengharapkan bantuan kewangan.

Pada 2013, industri seni Hong Kong sekali lagi dikejutkan dengan pendedahan Lam yang mendakwa pernah dirogol dua peneraju utama industri hiburan tempatan berdekad lalu.

Namun, nama penyerang terbabit tidak didedahkan. -astroawani