Gelaran Wanita Tercantik Di Dunia Di Pertikai Peminat

Aktres Gwyneth Paltrow baharu saja menerima gelaran wanita tercantik dunia 2013 menerusi kaji selidik yang dilakukan majalah People.


Bagaimanapun menurut laporan Dailymail, ramai yang mempersoalkan pemilihan Gwyneth sebagai wanita paling cantik dan mereka mengkritik wanita itu menerusi laman Twitter.

"Jika Gwyneth Paltrow adalah wanita paling cantik di dunia maka saya pun boleh meraih emas sebanyak 10 kali di Olimpik. Pelik dengan cara penghakiman yang dilakukan," kata peminat di Twitter meluahkan rasa tidak puas hatinya.

Selain itu, ramai yang bertanyakan bagaimanakah sistem penghakiman diadili oleh pihak People sehingga menetapkan bintang Iron Man itu sebagai wanita tercantik. Sedangkan ramai selebriti wanita lain yang layak serta menepati gelaran tersebut.

Sebelum ini, People pernah menyatakan bahawa Gwyneth mempunyai sepasang mata yang cantik dan ia membuatkan wajahnya cukup mempesonakan.

Pada tahun lalu, penyanyi Beyonce Knowles meraih gelaran wanita tercantik di dunia.

-mStar

Suami Hina Wajah Noniswara Buruk Macam Hantu

Noniswara sebelum ini ada menyebut kepada media yang seorang wanita bergelar artis telah menjadi punca kepada tuntutan cerai beliau terhadap suami, Datuk Rosman Ridzwan malah telah bersemuka.


Berita Harian menerusi sisipan hiburan mereka, Bpop menulis gossip yang mengatakan artis tersebut adalah Maznah Zulkifli, personaliti televisyen yang terkenal dengan aktiviti lasak beliau.

Khabarnya, Maznah Zulkifli & suami Noniswara sering keluar bersama suatu ketika dahulu tetapi dalam diam di’katakan personaliti TV ini mencuri hati lelaki tersebut.


Ini pula kisah yang di’ceritakan oleh Noniswara tentang artis yang menjadi punca penceraian beliau & suami.

“Siapa sangka kawan sendiri sanggup mengkhianati saya. Dia juga rakan artis. Saya mengenalinya dengan rapat malah dia pernah meminta saya mencarikan teman lelaki untuknya”

“Artis ini mula memberi perhatian kepada suami saya ketika saya sibuk di lokasi penggambaran. Dia meracuni fikiran suami dan memburukkan saya”

“Selepas berbincang dengan suami, beliau mengakui mencintai artis ini dan tidak mahu melepaskannya. Tidak guna saya menunggu lagi jika suami sendiri mengakui wajah saya serupa hantu,” jelas Noniswara.

–Rotikaya.com

Rupanya Emma Maembong Dan Zizan Dah Lama Bercinta!

Ibu kepada pelawak, Zizan Razak iaitu Anai Ibrahim akui pelakon Emma Maembong pernah mengunjungi rumahnya ketika rumah terbuka Aidilfitri, 2 tahun lalu.


Anai Ibrahim berkata dia sudah lama mengetahui mengenai hubungan anaknya dan aktres kacukan Melayu-Scotland itu, tetapi tidak tahu sejauh mana seriusnya hubungan mereka.

“Saya tak tahu sejauh mana seriusnya hubungan Zizan dan Emma, yang saya tahu hubungan mereka terjalin sejak 2 tahun lalu lagi.

“Seingat saya ketika itu, Emma ada datang ke rumah terbuka kami dan saya hanya anggap dia datang sebagai kawan Zizan ketika itu.

“Setakat ini, Zizan tidak pernah pun bercerita secara serius mengenai Emma kepada saya dan saya hanya baca cerita mengenainya di akhbar,” katanya ketika ditemui portal murai.com.my selepas majlis penyampaian hadiah Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 (ABPBH 2012).

Sebelum ini, Emma digosipkan bercinta dengan Zizan selepas pelawak itu akui hatinya kini sudah dimiliki oleh seseorang.

Bercerita lanjut mengenai sikap anaknya itu, Anai memberitahu anaknya memang seorang anak yang agak rapat dengannya dan sering bercerita mengenai hal peribadi termasuk soal cinta.

“Zizan tidak pernah sorok kepada saya jika dia sedang suka serta berkenan dengan seseorang itu. Dia akan terus membawa wanita itu berjumpa saya.

“Dia rapat dengan saya kerana saya akan selalu ada dekat dengannya. Setiap minggu saya akan berulang alik daripada Terengganu ke Kuala Lumpuer semata-mata untuk menemaninya.

“Malah, Zizan selalu minta pandangan saya mengenai wanita yang disukainya dan dia akan mendengar setiap nasihat atau komen yang saya berikan.

“Apa-apa pun, saya tidak kisah siapa pilihan bakal isteri Zizan, asalkan wanita itu faham akan kerjayanya yang sentiasa sibuk dengan kerja tanpa mengira masa,” jelasnya lagi.

Zizan pernah menyatakan hasrat untuk menamatkan zaman bujangnya pada tahun hadapan memandangan usianya bakal mencecah 30 tahun.

Namun sehingga kini, Zizan masih merahsiakan gerangan wanita yang berjaya memikat hatinya itu.

-Murai

Saya Bukannya Benar-benar Berbogel - Nora Danish

Keberanian Nora Danish menjayakan beberapa babak 'daring' dalam lakonannya ternyata tidak disenangi oleh peminat dan masyarakat keliling.


Rata-ratanya mempersoalkan kewajaran dan tindakan Nora hanya kerana trailer filem terbarunya, Mencari Cinta, yang memaparkan satu babak adegan berahi antaranya dan Rusdi Ramli dimuat turun di internet.

Tidak melatah, merajuk atau kesal, Nora mengakui sudah lali dengan kontroversi sebegitu setelah beberapa pihak mempersoalkan keberaniannya menjayakan babak romantis bersama Adi Putra dalam filem Aku Terima Nikahnya sebelum ini.

Ujar Nora, sebagai pelakon, dia sentiasa memikirkan relevan sesuatu babak yang dijayakannya dan tahu batasan-batasan dalam melakukan adegan tersebut.

"Saya bukannya benar-benar berbogel dan hanya kerana teknik dan sudut kamera, ia kelihatan seperti saya berbogel.

"Lagipun saya menjayakan watak sebegitu kerana tuntutan dan kesesuaian watak serta jalan cerita tersebut. Ia berkisarkan nikmat bercinta selepas berkahwin, tetapi saya dan Rusdi tidaklah melebih-lebih," ujarnya yang ditemui ketika sesi tayangan Mencari Cinta bersama media, baru-baru ini.

Mengulas mengenai kritikan daripada penonton, Nora berkata, dia tidak pernah menonton trailer itu dan tidak mengambil hati dengan apa yang diperkatakan.

"Saya harap mereka tonton filem ini terlebih dahulu dan fahami jalan ceritanya sebelum memberi sebarang komen," katanya.

-Sinarharian

Wawa Zainal DiBela Orang Kaya?

Kisah artis muda mendapat tajaan dan dibela orang kenamaan atau VIP bukan lagi kisah baru dalam industri seni. Malah sejak dahulu lagi, pelbagai kisah mengenai artis wanita baru yang menjadi buruan VIP yang ingin mendekati mereka dan seterusnya ditawarkan pelbagai kemewahan.


Tidak ketinggalan juga artis-artis wanita yang sudah mencipta nama, akan didekati golongan itu yang inginkan mereka menjadi kekasih, isteri dan tidak kurang juga sebagai wanita simpanan.

Kini, nama Wawa Zainal pula dikaitkan mempunyai hubungan dengan seorang VIP yang menaja kehidupannya selepas dia bergelar selebriti.

Pantas menafikan dakwaan tersebut, Wawa memberitahu bahawa dirinya tidak pernah terlintas untuk mengambil jalan singkat itu.

"Saya akui, sejak tahun lalu lagi gosip ini mula bertebaran. Namun, saya lebih suka untuk tidak mengambil tahu mengenai dakwaan tidak berasas itu.

"Dunia saya hanyalah bersama keluarga dan terlalu terikat dengan jadual kerja. Lagipun, saya bukanlah gadis yang suka bersosial. Bagaimana perkara ini boleh timbul?

"Namun, saya akui pernah mendapat tawaran dan ajakan daripada golongan berkenaan, namun saya menolak tawaran itu dengan baik," katanya yang lebih selesa dengan sikap sederhana dalam segala perkara.

Dalam pada itu, Wawa juga mengakui amat terkejut dengan dakwaan segelintir pihak mengenai taktik 'beli undi' yang dirancang oleh Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Group (MIG), Mejar David Teo.

Katanya, kemenangannya dan dua rakan MIG, Shaheizy Sam serta Yana Samsudin tidak pernah dirancang atau diatur seperti yang didakwa.

"Saya terkilan kerana masih ada yang meragui kebolehan saya dan turut melibatkan pihak MIG. Saya percaya, kemenangan ini mungkin kerana impak lakonannya menerusi drama bersiri Lestary, Cinta Qaseh yang disiarkan di TV3.

"Namun, saya tak kisah dengan apa orang cakap. Cuma, saya harap perkara ini tidak berlanjutan,” katanya yang juga duta produk kecantikan, Shurah dan LipIce.

Siapa sangka, walaupun baru sahaja bertapak sebagai pelakon sekitar November 2010, anak kelahiran Sabah ini berjaya meletakkan dirinya ke satu tahap yang mampu dibanggakan.

Namun, enggan mendabik dada dengan apa yang telah diperoleh, Wawa atau nama sebenarnya, Nur Hawa Zainal Abidin, 22, tetap merendah diri.

"Alhamdulillah, syukur sangat dengan rezeki yang diterima. Namun, saya masih lagi Wawa yang dulu, tidak akan berubah apa-apa.

"Walaupun saya berjaya merangkul trofi ini, bukan bermakna saya harus berhenti berusaha. Masih banyak perkara lagi yang perlu saya pelajari dan bekerja keras untuk terus berjaya dalam industri.

"Kemenangan ini juga membuktikan populariti bukan diukur dari segi rupa paras, sebaliknya bakat dan kebolehan," katanya yang pernah membintangi beberapa filem termasuk 3 Temujanji, Sumpahan Kum Kum, Hantu Dalam Botol Kicap, Kisah Paling Gangster, Pada Suatu Cinta Dahulu dan Longkai.

-Sinarharian

Demam Video Parodi Melanda Malaysia

Sana sini, orang sibuk memperkatakan mengenai video parodi yang semakin menjadi kegilaan ramai. Parodi membawa maksud karya sastera, seni yang meniru gaya pengarang atau pencipta lain dengan cara yang melucukan atau menyindir.


Di laman perkongsian video, YouTube, terutamanya di kalangan remaja, mereka semakin ghairah mencipta video parodi masing-masing.

Malah, video lagu, Sayang, nyanyian Shae turut menjadi sebahagian daripada video parodi pilihan.

Bukan sahaja menerusi rancangan popular, MeleTOP, lakonan Jihan dan Azrul, malah kehadiran lelaki yang dikenali sebagai Bobo, nyata menjadikan video ini mendapat perhatian umum.

Berjaya meraih hampir 1 juta tontonan, gelagat Bobo dalam video itu turut ditiru pelawak, Johan Raja Lawak, menerusi majlis berprestij, Anugerah Bintang Popular (ABP), baru-baru ini.

Hakikatnya, penghasilan parodi ini bukanlah perkara baru dalam industri hiburan, malah kehadiran Cikgu Shida dengan beberapa video 'miming' pernah mencipta fenomena satu ketika dahulu.

Begitu juga dengan duo, Belacan dan Paku (BP), yang meraih populariti hampir 500,000 tontonan menerusi video parodi sempena hari raya.

Namun, apa pula pandangan orang industri dalam fenomena ini? Adakah ianya hanya berbentuk hiburan semata-mata ataupun boleh membawa impak negatif?

Bagi pengacara, pelakon dan juga pakar motivasi, Datuk Dr Fazley Yaakob, beliau melihat isu tersebut dari dua sudut berbeza. Mengakui fenomena parodi semakin mendapat perhatian masyarakat, Fazley berkata, jika hanya sekadar tujuan hiburan, ia tidak mendatangkan kesalahan.

"Parodi ini merujuk kepada dua impak. Selain daripada untuk tujuan keseronokan, ia juga digunakan sebagai medan untuk menjatuhkan maruah seseorang.

"Jika ianya sekadar tarian, nyanyian atau bentuk hiburan lain, ia tidak mengapa. Namun, jika parodi itu turut mengheret orang-orang berpengaruh dan ahli politik, ia agak keterlaluan.

"Saya ada menonton beberapa video parodi hiburan dan isu semasa. Daripada situ, saya boleh lihat, parodi mampu mengganggu kesejahteraan masyarakat jika ia disalah gunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Sementara itu, bagi Presiden Seniman, Zed Zaidi, video parodi yang menjadi kegilaan ramai hanyalah sekadar hiburan ringan dan cara untuk menghilangkan stres.

Katanya, selagi ia tidak mendatangkan keburukan atau menyentuh soal sensitiviti kaum dan agama, ia masih boleh dijadikan bahan hiburan.

"Sebagai contoh, saya juga sering menonton video parodi di YouTube. Ada kalanya, jika kita tension, cara ini mungkin boleh buat kita lupa seketika mengenai masalah yang berlaku.

"Namun, tidak bermaksud kita boleh bergelak ketawa dengan video yang mungkin boleh membawa keburukan.

"Setakat ini, saya rasa, tiada lagi video parodi tempatan yang boleh mendatangkan kemudaratan dalam industri seni. Ia hanyalah hiburan semata-mata," katanya.

-Sinarharian

Choi Siwon Bersama Peminat Di Malaysia

Kelibat vokalis kumpulan Super Junior (Suju), Choi Siwon sewaktu pelancaran iklan komersial aplikasi LINE sememangnya dinantikan pada Jumaat lalu.


Itu merupakan kehadiran solo kedua Siwon ke Malaysia selepas kunjungan sulungnya penghujung Mac lalu bagi menjayakan pengambaran iklan yang sama.

Menariknya ketika menjayakan penggambaran iklan tersebut, kehadiran pelakon utama drama bersiri Oh My Lady itu telah membuatkan para peminat tegarnya tak keruan.

Masakan tidak, penyanyi itu sendiri telah meletakkan alamat lokasi penggambaran iklan tersebut di laman Twitternya.

Maka riuh rendahlah kawasan riadah Taman Tasik Ampang Hilir, Kuala Lumpur, tempat penggambaran iklan itu berlangsung.

Sebenarnya tindakan Siwon itu agak memeranjatkan ramai orang terutama para peminat setianya di negara ini.

Malah sekalipun tahu akibat yang bakal dihadapi sekiranya peminat mengetahui lokasi dirinya namun Siwon tidak kisah kerana peminat dari Malaysia sememangnya cukup dekat di hatinya.

PrivasiSikap Siwon yang sanggup mengetepikan privasi diri sewaktu melangkah masuk ke kawasan riadah itu amat menyentuh perasaan peminatnya.

Merendah diri dan mesra, Siwon juga tidak kisah walaupun dikejar dan dikerumuni peminat yang setia menanti.

Malah anggota keselamatan yang mengepung Siwon juga terpaksa mengalah apabila penyanyi itu sendiri yang menghulurkan tangan mahu bersalaman dengan peminatnya.

Ramai dalam kalangan peminatnya ternyata terharu dan menangis kegembiraan apabila mendapat peluang bertentang mata dengan Siwon secara langsung.

Mereka juga tertawan dengan ketampanan Siwon yang tidak lelah melemparkan senyuman yang menampakkan lesung pipit yang dalam.

Sewaktu sesi pengambaran iklan itu berlangsung, terdapat babak Siwon memeluk model wanita yang menjadi pasangannya.

Keadaan itu menyebabkan peminat wanita bersorak. Jeritan tersebut memaksa pihak penerbitan iklan memberi amaran agar tidak membuat bising.

Bagaimanapun Siwon bijak mengawal keadaan yang tegang ketika itu dengan mengucapkan terima kasih kepada peminatnya atas kerjasama tersebut.

Dia juga sempat berjanji sesuatu kepada peminat setianya. "Terima kasih semua! Saya akan kembali lagi nanti," katanya.

Tentunya Siwon pasti kembali ke Malaysia bersama ahli Suju yang lain bagi menjayakan konsert Super Junior 5 (SS5) yang dijangka berlangsung pada tahun ini.

-Utusan

Shakira Kena Saman RM300 Juta!

Bekas kekasih kepada Shakira iaitu Antonio de la Rua telah memfailkan saman berjumlah RM300 juta (USD$100 juta) terhadap penyanyi itu.


Antonio mendakwa dia telah bertindak sebagai pengurus dan berjaya menaikkan nama Shakira sepanjang 11 tahun mereka bekerjasama.

Bagaimanapun dalam satu dokumen balasan terhadap saman itu, Shakira, 36, berkata, semasa dia bertemu dengan Antonio pada tahun 2000 namanya telah dikenali di seluruh dunia dan tidak pernah melantik lelaki itu sebagai pengurusnya.

Dalam dokumen itu juga, Shakira memberitahu pada tahun 2006 mereka ada menandatangani satu perjanjian yang mengatakan jika mereka berpisah, kedua-dua mereka tidak boleh membuat sebarang tuntutan terhadap harta masing-masing.

Pun begitu, Shakira tidak menafikan Antonio ada membantunya membuat beberapa keputusan dalam kerjayanya semasa mereka bercinta.

-mStar

Rihanna Dan Chris Brown Putus Cinta

Penyanyi sensasi, Rihanna dilaporkan sudah berpisah dengan kekasihnya yang juga penyanyi terkenal, Chris Brown, lapor sebuah portal hiburan.


Satu sumber kepada portal berita E!News mengesahkan bahawa hubungan pasangan itu kali ini telah berakhir.

Sebelum ini terdapat laporan yang menyatakan pasangan tersebut berpisah tetapi kemudian mereka berbaik semula.

Rihanna yang berasal dari Barbados mahu memberi fokus terhadap kerjaya nyanyian dan perniagaannya.

Perpisahan tersebut dilaporkan tidak melibatkan pihak ketiga.

Bagaimanapun, Brown dilihat bersama seorang wanita misteri di New York baru-baru ini.

Pasangan berkenaan pernah berpisah pada tahun 2009 selepas Brown memukul Rihanna.

-Agensi

Lindsay Lohan Seorang Wanita Playboy

Mungkin ramai yang tidak menyangka, James Franco, pernah menjalinkan hubungan cinta bersama bintang kontroversi, Lindsay Lohan.


Namun, hubungan mereka tidak bertahan lama, setelah Franco menyedari Lohan seorang wanita yang bermasalah.

“Hubungan cinta kami tidak sampai setahun. Dia bukan saja sering menimbulkan masalah tetapi juga tidak setia pada cinta.

“Atas sebab tersebut, kami mengambil keputusan untuk berkawan tidak lebih daripada itu,” katanya.

-mStar

Tom Cruise Kantoi Berasmara Dengan Pramugari

Kecoh apabila aktor antarabangsa, Tom Cruise, ditahan kerana melakukan adegan asmara bersama dua pramugari di sebuah lapangan terbang.


Bagaimanapun, bekas suami Katie Holmes itu sebenarnya tidak bersalah. Menurut sumber, lelaki yang ditahan itu mempunyai wajah yang seiras dengan Cruise.

"Semasa kejadian itu, Tom Cruise berada di Irlandia melakukan penggambaran filem terbarunya Oblivion.

"Sejak berita tersebut tersebar, Tom Cruise sering dikritik hebat," kata sumber itu.

-mStar

Cincin Di Jari Akhirnya Angelina Jolie Buka Mulut

Spekulasi mengenai cincin pertunangan yang tidak lagi berada di jari aktres jelita, Angelina Jolie akhirnya terjawab dengan pengakuan yang dibuatnya, baru-baru ini.


Menurut Jolie, dia memilih untuk memakai cincin keluarga milik tunangnya, Brad Pitt.

"Saya akui, sebelum ini banyak pihak yang mempertikaikan kenapa saya tidak memakai cincin pertunangan kami.

"Inilah jawapannya... Cincin yang diberikan oleh neneknya (Brad Pitt) lebih berharga walaupun tidak semahal cincin pertunangan kami.

"Brad juga menghormati keputusan saya, buat masa ini, saya tidak akan memakai cincin pertunangan kami," katanya.

-Sinarharian

Nikita Mirzani Dedah Kisah Cinta

Pelakon kontroversi, Nikita Mirzani mengakui pernah menjalinkan hubungan cinta bersama bintang filem terkenal, Hengky Kurniawan.


Menurut Nikita, hubungan itu bagaimanapun hanya mampu bertahan selama sebulan. Jelasnya, ada orang ketiga yang menjadi dalang perpisahan mereka.

"Kami berpisah dengan cara baik. Saya menganggap tiada jodoh di antara kami.

"Buat masa ini, saya lebih selesa berkawan daripada bercinta dengan sesiapa," kata Nikita.

-Sinarharian