Showing posts with label Artis Tempatan. Show all posts
Showing posts with label Artis Tempatan. Show all posts

Senarai Konsert Yang Pernah Diadakan Siti Nurhaliza

"KAN ku kejar pelangi, walau hadir sementara.."

Itu antara bait lirik lagu Engkau Bagai Permata yang menjadi lagu pembukaan oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk konsert Live Bersama Siti Nurhaliza pada tahun 1999.

Ini merupakan konsert solonya yang pertama selepas berjaya menjuarai Bintang HMI empat tahun sebelum itu.

Konsert tersebut telah berlangsung dengan jayanya dan diterima dengan baik oleh pengkritik serta beliau dipuji kerana vokal dan persembahannya yang mantap.

Sempena ulang tahun kelahiran ke-40 penyanyi kesayangan ramai itu dan juga konsert jelajah beliau yang akan bermula bulan depan, kami kongsikan senarai konsert yang pernah diadakan biduanita kesayangan ramai ini:

Selamat Ulang tahun ke-40 Buat Siti Nurhaliza!

Ratu Pop Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin akan menyambut hari jadinya yang ke-40.

Penyanyi pop yang menerima pelbagai anugerah itu merupakan penyanyi Malaysia yang paling berjaya, menerima lebih 300 anugerah tempatan dan antarabangsa dan membuat persembahan dalam lebih 50 konsert sepanjang penglibatan beliau selama 23 tahun dalam industri muzik.

Pada masa ini, beliau tersenarai sebagai salah seorang artis Malaysia yang terkaya, paling berpengaruh, menerima paling banyak anugerah dan menghasilkan paling banyak single.

Siti Nurhaliza juga ialah salah seorang artis Malaysia yang laris. Jualan album beliau sahaja menyumbang kepada 10 peratus jumlah jualan album di Malaysia pada 2001.

Setakat ini jualan album beliau mencecah lebih enam juta unit.

Biarpun mencapai banyak kejayaan, penyanyi "Anta Permana" itu berkata tiada apa lagi yang dihajatkan beliau selain daripada kesihatan yang baik dan mampu untuk terus menyumbang kepada masyarakat.

"Lagipun, saya sudah menerima hadiah yang paling berharga, anak perempuan saya, Siti Aafiyah," katanya sebagaimana dipetik dalam satu laporan akhbar baru-baru ini.

Siti Nurhaliza dan ahli perniagaan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa menikah pada 21 Ogos, 2006 dan Aafiyah dilahirkan pada 19 Mac tahun lepas.

Selepas lebih setahun berehat untuk menyambut kelahiran anak sulungnya, Siti Nurhaliza akan kembali beraksi untuk peminatnya pada tahun ini.

Ikon muzik itu akan mengadakan persembahan di empat negara - Indonesia (21 Feb), Singapura (2 Mac), Malaysia (16 Mac) dan England (22 April).

Penyanyi sensasi itu akan membuat persembahan di Royal Albert Hall yang ternama di London pada 22 April nanti, yang merupakan persembahan kedua beliau di venue yang tersohor itu.

Kali pertama Siti Nurhaliza membuat persembahan di London ialah pada 2005 sempena ulang tahun sedekad penglibatan beliau dalam industri muzik, menjadikan beliau artis ketiga Asia yang menghiburkan peminat di Royal Albert Hall.

"Konsert ini akan memberikan kelainan, terima kasih kepada peminat setia, 'Sitizoners' dan peminat yang menanti saya kembali," kata beliau dalam satu sidang media baru-baru ini untuk mengumumkan konsert jelajah beliau, "Dato' Sri Siti Nurhaliza On Tour'.

Bersempena konsert jelajah itu, satu dokumentari berjudul "They Call Me Siti: One Woman, Two Decades of Music, Ten Thousand Miles" akan ditayangkan di layar perak.

Penerbit Eksekutif Shiraz Project, Shirazdeen Karim yang akan mempromosikan Siti Nurhaliza sebagai Ratu Muzik telah memperuntukkan lebih RM10 juta bagi tujuan itu, menjadikannya mungkin konsert jelajah yang mempunyai belanjawan tertinggi bagi mana-mana penyanyi Malaysia.

Tiket untuk konsert di Arena Axiata, Bukit Jalil di sini berharga RM1,295 (termasuk berjumpa dan beramah mesra), RM495, RM355, RM255, RM155 dan RM105 boleh didapati di myticket.asia.

Saat Terbahagia Izreen Azminda

Awan mendung yang berarak dalam kehidupan pelakon Izreen Azminda nampaknya kini telah diganti dengan pelangi apabila dia disahkan hamil buah cinta pertamanya bersama suami, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude, yang dikahwini pada 8 Ogos 2017.

Menyifatkan ia sebagai kurniaan terindah dalam perkahwinannya, Izreen yang kini hamil tiga bulan bersyukur kerana berpeluang kembali melalui pengalaman hamil selepas kali terakhir mengalaminya enam tahun lalu.

“Sebaik disahkan usia kehamilan mencecah sebulan pada November lalu, saya terkejut dan amat gembira. Hal ini adalah kerana saya sememangnya memasang impian untuk memiliki anak lagi.

“Suami dan anak-anak juga gembira. Kehamilan ini merupakan hadiah paling istimewa bukan sahaja untuk saya, tetapi seluruh keluarga,” kata Izreen membuka bicara ketika ditemui di kediamannya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Biarpun begitu kehamilannya kali ini amat berbeza dengan yang pertama dahulu. Menurut wanita berusia 34 tahun itu, kali ini, tahap kesihatannya merosot dan kerap mengalami pendarahan.

“Kehamilan pertama dahulu saya masih boleh bekerja sehingga kandungan mencecah empat bulan. Kehamilan kali ini berbeza kerana saya cepat berasa penat dan tidak boleh berdiri terlalu lama.

“Saya juga kerap alami pendarahan, rasa mual yang melampau dan pening kepala. Sebab itu, saya lebih banyak berehat di rumah dan tidak akan keluar rumah jika tiada urusan penting,” kongsi Izreen.

Tanpa berselindung Izreen mengakui, dia mengidam mendapat anak perempuan kerana sudah memiliki seorang anak lelaki, Muhammad Adrian Umar yang kini berusia enam tahun hasil perkahwinan pertamanya dengan jurukamera, Muhammad Riza Baharuddin.

Sementara, suami Izreen, Ude, 31, juga telah memiliki dua orang anak lelaki iaitu Arish Muqri, empat tahun dan Ariq Muqri, dua tahun, hasil perkahwinan terdahulunya dengan Intan Liana Saleh.

“Buat masa ini, saya masih belum mengetahui jantina bayi, tetapi kalau boleh mahu menimang anak perempuan pula selepas memiliki anak lelaki.

"Namun, jika Allah kurniakan anak lelaki juga saya tidak kisah, memadai anak yang bakal lahir kelak sihat dan sempurna,” ungkap Izreen.

Rezeki

Sejak mendirikan rumah tangga lebih setahun lalu dan menjadi bahan kontroversi sehingga menjadi antara pelakon wanita yang paling dibenci khalayak, Izreen ‘direhatkan’ daripada muncul di televisyen.

Bagaimanapun sebaik disahkan hamil, tawaran lakonan kembali datang mencurah-curah seperti dahulu.

Namun, demi kesihatan dan keselamatan kandungan, Izreen terpaksa menolak kesemua tawaran tersebut.

“Saya mengaku sebelum ini memang saya direhatkan oleh stesen televisyen kerana terpalit dengan kontroversi

"Mungkin rezeki anak, tawaran lakonan mula datang kembali sejak Oktober tahun lalu.

“Malangnya semua tawaran tersebut adalah untuk membintangi drama rantaian yang memerlukan komitmen tinggi.

"Saya terpaksa menolak kesemua tawaran berkenaan kerana tahap kesihatan yang tidak berapa baik.

“Saya juga tidak mahu menyusahkan pihak produksi dan orang lain andai menerima tawaran tersebut. Jika ada rezeki selepas bersalin, saya akan kembali berlakon semula,” tutur Izreen.

Tambah pelakon drama Tanggang Ayu itu, dia mahu membintangi sebuah karya yang memberi impak jika membuat kemunculan semula dalam bidang lakonan selepas bersalin pada Julai depan.

“Saya mahu sebuah karya yang benar-benar memberi impak kerana sudah lama tidak berlakon. Oleh itu, saya mahu karya yang bukan sahaja memberi impak kepada penonton, tetapi turut mencabar saya sebagai pelakon,” kata penerima anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2013.

Cinta

Ditebak soalan, kemungkinan timbul sebarang penyesalan di hatinya apabila karier lakonan yang dibina selama 12 tahun terhenti begitu sahaja demi sebuah perkahwinan.

Tanpa berfikir panjang, Izreen segera menjawab, dia sesekali tidak pernah menyesal dengan jalan hidup yang dipilihnya ketika ini kerana dia berasa cukup bahagia.

Andai boleh diundurkan waktu, Izreen akan tetap memilih jalan dan lelaki yang sama untuk menjadi suaminya.

“Tipulah jika saya kata tidak terkilan. Saya sayang dengan karier lakonan yang dibina selama 12 tahun.

"Saya menjadikan lakonan sebagai karier bukan untuk kejar glamor, sebaliknya demi kelangsungan hidup.

"Saya bermula daripada bawah sebagai pelakon tambahan.

“Namun, saya sanggup melepaskan karier seni untuk berkahwin kerana benar-benar mencintai suami. Mungkin dia orang biasa dan tidak kaya, tetapi saya tidak pernah menyesal.

“Saya bersyukur apabila ditimpa kontroversi, sebagai suami dia tidak pernah lari atau menyalahkan saya atas apa yang berlaku.

"Sebaliknya, kami melalui semua dugaan dan cabaran bersama. Dia juga tidak menyesal berkahwin dengan saya meskipun dihina satu Malaysia, daripada situ saya melihat keikhlasannya,” ujar Izreen.

Biarpun perkahwinannya bersama Ude menempuh pelbagai cabaran dan dugaan, Izreen yakin aturan Allah tidak pernah salah. Baginya, setiap apa yang berlaku mempunyai hikmah.

Allah memberi bahagia yang dicarinya selama ini, tetapi dalam masa sama menarik rezekinya sebagai pelakon buat sementara waktu.

Melihat dengan jelas apa yang berlaku dalam kehidupannya, tegas Izreen, mungkin itu merupakan ‘bayaran’ yang perlu ditanggung atas kekilafannya dahulu.

“Saya sentiasa berdoa agar diberi kebahagiaan. Allah mendengar doa saya dan beri bahagia yang dipinta, tetapi menarik karier seni. Mungkin ini merupakan cara Allah untuk membawa saya kembali dekat dengan-Nya.

“Sebelum ini kerana terlalu sibuk bekerja saya terlupa dan tiada masa untuk dekat dengan Allah.

"Saya memandang positif semua yang berlaku, walaupun perit, tetapi ia menjadikan saya manusia yang lebih baik,” luah Izreen.

Sebelum mengakhiri bicara, Izreen mengharapkan kehadiran tahun 2019 akan memberi lebih kemanisan dalam kehidupan keluarganya.

"Selain itu, dia juga berharap khalayak menutup buku tentang semua kisah silamnya.

“Saya harapkan sempena tahun baru ini, semua orang boleh tutup buku lama, tidak perlu diungkit kisah lalu.

"Jika ada kesalahan yang saya lakukan jangan mengambil kerja Allah dengan menjatuhkan hukum.

"Biarlah Allah yang tentukan kerana terdapat hikmah sebalik apa yang berlaku,” katanya menutup bicara.

Pelakon Izreen Azminda kini berada dalam fasa terbahagia kehidupannya apabila hamil tiga bulan selepas setahun lebih mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Muhammad Radzi Abdul Wahid. -kosmo

Mahligai Aliff Syukri Tersenarai Dalam Portal Hartanah Mewah Antarabangsa!

SEBUAH portal hartanah mewah yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Home of The Rich memaparkan mahligai Datuk Seri Aliff Syukri di laman Instagram rasminya pada Rabu.

Instagram @homeoftherich itu memuat naik dua gambar kediaman mewah jutawan kosmetik itu yang menunjukkan Aliff Syukri berdiri di depan gerbang masuk utama dan sebuah lagi gambar beliau di tangga di bahagian dalam rumahnya.

Portal yang mempunyai lebih 273,000 pengikut di laman Instagram tersebut memaparkan gambar-gambar kediaman mewah dari seluruh dunia untuk dijadikan sebagai inspirasi.

Bagaimanapun, terdapat netizen yang tidak berpuas hati dengan posting tersebut dan mendakwa kekayaan yang dipamerkan Aliff Syukri diwarisi daripada ibu bapanya.

"Dia gemar menunjuk-nunjuk kekayaannya yang ditinggalkan oleh ibu bapanya dan ditangkap oleh polis kerana mengelak bayaran cukai jalan," tulis @nick_leesy.

Bagaimanapun, pengguna akaun @guns_and_bullet mempertahankan usahawan berkenaan dan berkata, "Tidak. Kekayaannya bukanlah diwarisi daripada ibu bapanya kerana bapa beliau adalah seorang pengawal keselamatan."

Komen tersebut mendapat perhatian Aliff Syukri yang ternyata kecewa dengan dakwaan yang dilemparkan ke atasnya.

Aliff Syukri pada Khamis memuat naik paparan skrin komen tersebut dan meluahkan rasa sedih dengan sikap rakyat Malaysia yang tidak puas hati dengan kejayaannya.

"Sedih dengan perangai orang Malaysia yang jenis macam ni.

"Bila rumah saya diletakkan antara rumah terhebat oleh laman @homeoftherich, antara rumah yang menjadi perhatian dunia.

"Saya rasa bangga sebab rumah tu hasil usaha saya sendiri bukan rompak duit kalian, tapi ada juga 'bawang-bawang' Malaysia ni yang mendengki.

"Komen saya tinggalkan bapa sendiri sebab malu (dia) pengawal keselamatan la, kaya duit mak bapak la, tak bayar cukai la, sampai ke sana busuk hati, sempat nak kutuk sana sini gigih mencari," luahnya.

Jutawan berusia 31 tahun itu membina Aliff Syukri Palace yang mempunyai 30 bilik tidur termasuk surau, gim dan bilik kebal di Kota Damansara meraih perhatian media pada April 2018 lalu.

Kos pembinaan rumah dengan rekaan Royal Modern Classic itu bagaimanapun tidak didedahkan oleh beliau. -mstar

Siti Nurhaliza Terima Anugerah Tourism Icon Award (Selebriti) 2018

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza telah mendapat Anugerah Tourism Icon kategori Selebriti pada malam Anugerah Emas Malaysia Tourisan Council (MTC).
Majlis yang berlangsung di Palace Of The Golden Horses, Seri Kembangan itu menyaksikan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Wan Azizah menyerahkan plak penghargaan kepada pelantun Anta Permana itu.

“Alhamdulillah di atas penghargaan yang diberikan.

“Terima kasih MTC kerana memberi kepercayaan kepada saya bagi Anugerah Tourism Icon kategori Selebriti tahun ini,” tulis Siti pada sekeping gambar yang dimuat naik di laman Instagramnya.

Malam Anugerah Emas MTC ini merupakan satu acara tahunan yang memberi penghargaan kepada penggiat-penggiat industri pelancongan yang memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi negara. -kosmo